Monday, June 23, 2008

Anak posmen cemerlang dapat anugerah Shell



PELAJAR-PELAJAR cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM menerima 'Anugerah Pelajar Cemerlang Shell 2008' di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang anak posmen, Nur Atiqah Mohd. Zulkifly, 20, muncul antara 25 penerima 'Anugerah Pelajar Cemerlang Shell' ekoran kejayaan cemerlangnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.

Beliau yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) 3.83 dalam peperiksaan itu berkata, walaupun pendapatan keluarganya kecil namun ia bukanlah penghalang kepada beliau untuk berjaya dalam pelajaran.

"Ayah saya hanya bekerja sebagai posmen dengan gaji kurang dari RM1,000 sebulan bagi membesarkan kami tujuh adik-beradik.

"Keperitan dan kesusahan keluarga dalam hidup, telah membuatkan saya bertekad dan berazam mengubah nasib keluarga," katanya ketika ditemui selepas majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Shell anjuran Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. (Shell) di sini semalam.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Shell, Datuk Mohzani Abdul Wahab diiringi Penolong Pengarah Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran, Raja Mazlan Raja Shahdan.

Pada majlis itu, seramai lima pelajar menerima anugerah cemerlang bagi kategori STPM dan 20 pelajar menerima anugerah bagi kategori Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), masing-masing menerima wang tunai antara RM800 dan RM1,000.

Nur Atiqah, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong, Kota Bharu itu memberitahu, selain menumpukan dalam bidang akademik, beliau juga aktif melibatkan diri dalam aktiviti luar bagi mengimbangi antara pelajaran dan kokurikulum.

"Saya mengakui kehidupan sebagai seorang pelajar memang sibuk, tetapi mengimbangi antara pelajaran dengan kegiatan kokurikulum adalah sama penting dan kita kena bijak membahagikan antara kedua-duanya," jelas beliau.


0 comments: