Thursday, June 12, 2008

Coretan Angkasawan: Kayuh basikal ke kuliah


DR Sheikh Muszaphar (depan dua dari kiri) bersama rakan di Manipal, India.

Sukar lupakan pengalaman ketika belajar di Manipal, India terutama guru Biologi yang sangat garang

MENGAPA doktor dan bukan kerjaya lain? Begitu juga mengapa angkasawan menjadi cita-cita saya. Sebenarnya minat menjadi doktor tidak muncul tiba-tiba, tetapi lahir sejak saya berumur enam tahun. Dorongan abah memperkuatkan cita-cita ini.

Mungkin kerana impian abah sendiri untuk menjadi doktor tidak tercapai, lantas ayah menyemaikan impian itu kepada anak-anaknya.

Sejak kecil, abah sering membelikan buku bertemakan sains dan perubatan. Memotong katak dan tikus juga menjadi lumrah ketika itu. Latar belakang ini sudah pasti menyebabkan saya berani dan tidak takutkan darah.

Ketika berumur 10 tahun, menyembelih ayam untuk dijadikan hidangan sudah menjadi kebiasaan. Secara tidak langsung ayah memberi asas yang tidak ternilai kepada saya sebagai persediaan menjadi seorang doktor.

Pada masa sama, saya bercita-cita menjadi seorang angkasawan. Saya sering mendongak ke langit, mengelamun, melihat bintang berkelipan dan sentiasa ingin mengetahui mengenai kehidupan di angkasa lepas.

Kedua dua impian ini tersemat kukuh dalam dada. Syukur kerana pada umur 35 tahun, kedua-dua impian ini berjaya dicapai. Inilah ketentuan dan takdir Tuhan.

Sudah tentu pembaca ingin mengetahui perjalanan saya menjadi seorang doktor. Selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya bersama 23 pelajar lain ditawarkan melanjutkan pelajaran ke India di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kami adalah kumpulan pertama dihantar ke Manipal, India, untuk mengikuti kursus A Level dan seterusnya meneruskan pengajian di Kolej Perubatan Kasturba (KMC) di Manipal. Sudah tentu, saya sangat seronok apabila ditawarkan mengikuti kursus yang diidamkan ini.

Abah dan umi turut berbangga terhadap kejayaan ini kerana adik-beradik lain kurang berminat menjadi seorang doktor.

Saya percaya ramai rakyat Malaysia biasa dengan nama KMC. Kolej ini terletak di sebuah perkampungan Manipal berhampiran bandar Mangalore di selatan India. Berbeza dengan Malaysia, cuaca di sini terlalu kontras. Enam bulan panas dan enam bulan hujan.

Walaupun ramai rakyat India adalah golongan miskin, KMC dipenuhi ramai pelajar luar negara berketurunan India. Ibu bapa mereka bermastautin di Amerika Syarikat atau rantau Arab, tetapi menghantar anak belajar di Manipal.

Walaupun kami adalah kumpulan pelajar tajaan JPA pertama di Manipal, sebenarnya ramai rakyat Malaysia mendapat pendidikan di sini sejak tahun 1960-an. Saya memilih KMC kerana di India, terdapat banyak penyakit yang boleh dipelajari. Selain itu, banyak mayat yang dapat dibedah ketika ujian praktikal berbanding negara sendiri.

Di Manipal, saya dan tiga pelajar lain tinggal di rumah sewa. Perbelanjaan di sini agak murah kerana taraf kehidupan yang rendah. Walaupun biasiswa hanya RM270 sebulan, jumlah ini boleh dikatakan agak tinggi ketika itu.

Basikal menjadi kenderaan saya ke kuliah setiap hari dan ini amat menyeronokkan. Puri dan capati menjadi makanan kegemaran untuk bersarapan. Di sini juga, saya belajar masakan Malaysia daripada kawan-kawan.

Keadaan menjadi sukar apabila musim hujan tiba. Bayangkan hampir setiap hari hujan antara tiga hingga empat bulan.

Saya belajar di Kolej Rendah Manipal (MJC) antara 1989 hingga 1991, sebagai persediaan A Level selama dua tahun sebelum memulakan kursus perubatan di KMC.

Pelbagai memori manis tidak dapat dilupakan ketika belajar di sini. Pernah kelas kami dibanjiri seramai 120 orang dan kadang-kadang kelas terpaksa dibatalkan kerana banjir. Guru pula amat garang, terutama Guru Biologi.

Kami bukan saja harus memahami setiap mata pelajaran, tetapi terpaksa menghafal setiap baris perkataan ketika menjawab soalan yang dikemukakan.

Saya mengambil bahasa Perancis sebagai mata pelajaran tambahan selama dua tahun. Saya tidak pasti mengapa kerana sepatutnya lebih elok jika kami mempelajari bahasa Hindi. Paling melucukan apabila ujian pertama, saya terkedu apabila soalan dikemukakan dalam bahasa Perancis.

Saya termenung seketika kerana tidak memahami soalan yang dikemukakan. Mungkin kerana terlalu fokus pada mata pelajaran biologi, fizik dan kimia yang menjadi kegemaran.

Kepada adik-adik, untuk menjadi doktor tidaklah sukar seperti disangkakan. Mungkin kerana tempoh yang agak lama membuatkan ramai takut meneruskan cabaran menjadi doktor. Percayalah, anda hanya memerlukan kerajinan dan ketabahan.

Bagi saya, doktor adalah kerjaya mulia dan memberi kepuasan tidak terhingga apabila dapat merawat pesakit yang memerlukan pertolongan. Saya menggalakkan anda menceburi bidang sains, termasuk perubatan agar lebih ramai doktor yang dapat dilahirkan pada masa depan.

SOALAN:

Apakah cabaran yang paling sukar dan mudah ketika ujian pemilihan program Angkasawan Negara?

Balkish Aiman

JAWAPAN

Setiap cabaran yang dilalui ketika program pemilihan seperti centrifuge (emparan), aerochamber (kebuk penerbangan), winter survival (ikhtiar hidup musim sejuk) di Siberia, sea survival (ikhtiar hidup di laut) di Ukraine dan pelbagai lagi memang sungguh mencabar dan pada masa sama menyeronokkan.

Bagaimanapun, tidak ada yang sukar jika kita mempunyai kekuatan mental yang tinggi. Saya juga sedar ini adalah harapan seluruh rakyat Malaysia menyebabkan saya sentiasa mahu melakukan yang terbaik untuk mencapai objektif dalam program penghantaran angkasawan.


0 comments: