Saturday, June 14, 2008

Cukai jalan diturunkan





KUALA LUMPUR - Selepas segolongan pemilik kenderaan mula menerima rebat tunai mulai hari ini, para pemilik yang tidak termasuk dalam senarai itu pula bakal menikmati potongan cukai jalan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid, Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan bagi beberapa jenis kenderaan persendirian diberi pengurangan bayaran berkuat kuasa 1 Jun lalu.

"Pengurangan sebanyak RM50 diberi untuk motosikal persendirian melebihi 250cc, manakala pengurangan sebanyak RM200 diberi bagi kenderaan persendirian melebihi 2,000cc serta jip dan pikap melebihi 2,500cc.

"Namun, pengurangan ini hanya untuk kenderaan yang menggunakan petrol atau diesel dan ia didaftarkan atas nama individu warganegara Malaysia," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel pada 4 Jun lalu, turut memaklumkan pemberian rebat dan pengurangan kadar LKM bagi mereka yang layak, dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat berikutan kenaikan sebanyak 41 peratus bagi petrol dan 63.3 peratus bagi diesel.

Berikutan itu bagi kenderaan persendirian termasuk jip dan pikap lebih 2,000cc, cukai jalan dikurangkan RM200 manakala pemilik motosikal persendirian kapasiti lebih 250cc, cukai jalan dikurangkan RM50, tertakluk kepada cukai jalan minimum RM2.

Jelas Ahmad Mustapha, biarpun pengurangan cukai jalan itu berkuat kuasa 1 Jun lalu, pemilik hanya boleh mendapatkan kadar baru itu bermula 24 Jun ini di mana-mana pejabat JPJ, pejabat pos atau melalui kiosk/ portal My-EG.

"Bagi mereka yang memperbaharui cukai jalan pada 1 Jun hingga 23 Jun 2008 dengan kadar lama, bayaran semula perbezaan antara kadar baru dan lama boleh diperoleh dengan mengemukakan permohonan di mana-mana pejabat JPJ berdekatan.


0 comments: