Tuesday, June 3, 2008

Cuti Sekolah Jual Dadah


KUALA LUMPUR - Di luar pengetahuan ibu bapa, kebebasan yang diberi rupanya memberi peluang seorang pelajar 17 tahun menjual dadah untuk mencari duit poket ketika cuti sekolah.

Modus operandinya hanya menunggu panggilan telefon dari pelanggannya dan menghantar dadah itu menggunakan motosikal.

Namun kegiatan yang dilakukan baru seminggu itu akhirnya berkubur apabila dia ditangkap sepasukan polis di kawasan perumahan awam flat Seri Johor, Cheras Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, remaja lelaki itu ditahan semasa sedang berdiri di sebelah motosikalnya dipercayai sedang menunggu pelanggan pukul 10.30 malam.

"Polis yang menerima maklumat orang awam telah bergegas ke tempat tersebut dan hasil pemeriksaan kita menjumpai sebuah beg yang berisi bungkusan daun pisang," katanya kepada pemberita semalam.

Katanya, di dalam bungkusan daun pisang itu, terdapat daun-daun kering disyaki dadah kanabis seberat 19.35 gram sebelum membawa polis ke rumahnya.

Hasil pemeriksaan di rumahnya, polis menjumpai satu bekas tin warna merah yang juga terdapat daun kering kanabis mampat.

Bagaimanapun suspek didapati negatif dadah.

Ujar Chez Chiang, keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM700 hingga RM800 dan suspek telah direman sehingga Khamis ini.

0 comments: