Wednesday, June 11, 2008

Diancam bahaya asbestos


Puluhan ribu penduduk Wittenoom meninggalkan bandar itu kerana enggan mempertaruhkan kesihatan mereka.


MARIO HARTMANN tetap tidak akan meninggalkan Wittenoom walaupun kawasan itu diancam asbestos.


Sebahagian daripada 20,000 penduduk yang tinggal di bandar lombong tinggal di barat Australia, sekurang-kurangnya 1,000 orang daripadanya meninggal dunia akibat penyakit yang berkaitan asbestos. Hampir kebanyakan penduduk telah meninggalkan tempat itu.

Tetapi jika Mario Hartmann seorang pendatang Austria sanggup ke Australia untuk menembak kanggaru dan lembu tetap masih mahu tinggal di situ, kawasan tersebut pastinya memiliki keistimewaan tersendiri.

Niat Hartmann berubah 10 bulan yang lalu apabila dia menemui sesuatu dalam hidupnya iaitu bertemu dengan Gail Malcom.

"Kami tidak dapat membayangkan tinggal di kawasan yang lebih tenang dan cantik daripada tempat ini," ujar Hartmann, 44, sambil tersenyum kepada rakannya dan memberi isyarat supaya memandang ke arah kaki bukit Hamersley Gange yang mengagumkan

"Penyakit barah ibarat satu lemparan bola dadu. Sesetengah orang menghidapnya, dan sesetengah orang lagi tidak," katanya.

Selama 18 tahun Hartmann tinggal di situ - dia menyaksikan daripada puluhan ribu penduduk kini Wittenoom hanya mempunyai populasi seramai lapan orang.

Sesetengah rakan dan jiran tetangganya meninggal dunia dan sebahagiannya jatuh sakit. Ramai yang meninggalkan Wittenoom kerana mematuhi seruan kerajaan untuk mengelak lebih ramai yang jatuh sakit akibat asbestos.

Sebahagiannya telah berpindah ke Perth yang terletak 1,500 kilometer di selatan Laut India, manakala ada yang tinggal di kawasan berdekatan yang terkenal dengan tanaman lada putih dikenali Pilbara.

Salah seorang daripada individu terakhir meninggalkan Wittenoom ialah seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang bertahun-tahun menjalankan perniagaan Cafe Doc Holiday, satu-satunya restoran yang terdapat di situ.

Kawasan lombong asbestos di bandar itu ditutup pada tahun 1966 apabila bahaya bahan itu semakin jelas. Namun, ia agak terlambat kerana sudah ramai orang di bandar itu yang kebanyakannya bekerja di kawasan lombong yang diserang penyakit barah paru-paru.

Asbestos digunakan secara meluas untuk menurap jalan dan tempat letak kereta. Lebihan asbestos dari lombong digunakan untuk membina landasan lapangan terbang di bandar itu.

Dari tahun 1950 hingga 1960, Wittenoom merupakan satu-satunya lokasi sumber asbestos dan bandar yang maju. Ia berjaya menarik beribu-ribu orang pekerja dan mereka dijanjikan dengan gaji yang tinggi.

Beberapa tahun selepas gagal dalam percubaan membersihkan parkir dan lokasi-lokasi yang dibina hasil daripada asbestos kerajaan Australia mencadangkan agar Wittenoom perlu dijauhi.

Jika anda perlu pergi untuk mengingatkan kembali daerah itu, pastikan anda berada dalam kereta sambil tingkap dan pintu tertutup rapat.

Fiber asbestos memasuki tubuh melalui paru-paru. Pendedahan kepada asbestos menjadi penyebab kanser paru-paru, asbestosis dan mesotelioma kanser yang memberi kesan kepada bahagian luaran yang melindungi bahagian dalaman organ tubuh termasuk paru-paru dan dada.

Hartmann, seorang perokok berkata, dia tidak menunjukkan simptom atau penyakit yang berkaitan dengannya. Malcom satu-satunya orang berpindah ke Wittenoom sejak beberapa dekad lalu, pada awalnya tinggal di sebatang jalan berdepan dengan kediaman dengan Hartmann.

Beliau turut menguruskan sebuah pusat penginapan bagi pelancong yang berani datang ke situ untuk melihat keindahan semula jadi kawasan itu.

"Saya tidak fikir terdapat risiko untuk tinggal di sini selagi anda menjauhi kawasan lombong dan berada di dalam kawasan tertutup ketika angin kuat," kata Malcom.

Kebanyakan pencemaran berlaku dalam tanah dan bukannya di udara. "Sekiranya kerajaan mengambil tindakan sepatutnya ia mungkin dapat mengembalikan penduduk ke Wittenoom.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak bersetuju dengan pendapat itu dan tidak akan bertolak ansur dengan pendapat kawasan itu selamat walaupun udaranya sudah bersih.

Dua tahun lalu, hampir 30 daripada 37 buah keluarga yang meninggalkan Wittenoom menyebabkan kerajaan mengambil keputusan untuk tidak lagi mengiktiraf kawasan itu sebagai bandar. Kemudahan elektrik diputuskan, khidmat surat menyurat dihentikan dan polis mengawal secara berterusan. Di sini tiada pasukan bomba mengawal kebakaran dan juga perubatan.

"Sejak itu, kami hidup dengan cara kami sendiri," kata Hartmann yang menggunakan sebuah generator untuk menjana tenaga elektrik di kawasan itu. Enam lagi penduduk lain juga punya cara tersendiri untuk mendapatkan tenaga elektrik. Kebanyakannya menggunakan sistem tenaga solar.

Untuk membeli-belah penduduk Wittenoom perlu memandu sejauh 140 kilometer ke bandar Tom Price. Bagaimanapun Malcom dan Hartmann lebih suka menanam sayur-sayuran dan berburu.

Menariknya kelapan-lapan penduduk itu menolak tawaran A$43,000 (RM95,000) daripada kerajaan untuk meninggalkan Wittenoom. - Reuters


0 comments: