Thursday, June 19, 2008

Dikelilingi suasana hijau


Pusat beli-belah 1 Utama mengambil inisiatif melaksanakan konsep bangunan mesra alam.


USAHA 'mewujudkan' hutan tropika di dalam kawasan bangunan pusat beli-belah seperti di 1 Utama ini wajar dicontohi oleh pihak lain.


TERLETAK di tengah-tengah lingkaran pusat Bandar Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor dan dikelilingi bangunan-bangunan pejabat serta rumah bertingkat, kesemuanya itu memberi kelebihan kepada isi dalamannya.

"Melihat reka bentuk dan kepesatan bangunan komersial yang dibina di sekelilingnya, kami mendapati tiada lagi tumbuh-tumbuhan liar mahupun pokok-pokok hutan di ruang persekitaran.

"Menyedari hakikat ini, pihak 1 Utama mengambil pendekatan dengan menampilkan ruang dalaman persekitaran yang lebih hijau, selamat dan selesa kepada pengunjung. Semua ini dilakukan bagi menjaga kepentingan serta pemuliharaan alam semula jadi," kata Pengurus Promosi dan Pengiklanan 1 Utama, Patrick So pada majlis pelancaran Hari Alam Sekitar Sedunia di pusat beli-belah itu baru-baru ini.

Kata Patrick, 1 Utama telah mengambil beberapa langkah penting untuk memastikan para pelanggannya sentiasa dikelilingi dengan suasana hijau yang segar dan lebih menyihatkan.

"Sudah enam tahun kami cuba mengenengahkan konsep hidupan hijau pada bangunan ini. Setiap bahagiannya telah dilengkapi dengan pelbagai sistem pengudaraan dan persekitaran yang berkualiti.

"Memandangkan kedudukannya begitu jauh dengan tumbuhan hijau, kami amat mementingkan setiap susun atur serta pengawasan masuk dan keluar udara dialirkan menerusi sistem teknologi terkini.

"Dengan harapan yang tinggi juga, kami mahu menjadikannya sebagai sebuah pusat beli-belah mesra alam. Kini, kami berjaya mewujudkan langkah terbaik bagi memulihara alam sekitar," jelasnya.

Merupakan salah sebuah bangunan ikon antara seluruh pusat beli-belah utama di Kuala Lumpur, pihak pengurusan 1 Utama mengambil inisiatif melaksanakan beberapa langkah penting di dalam bangunan demi membantu kehidupan alam semula jadi. agar tidak pupus begitu sahaja.

Antaranya ialah 'mewujudkan' hutan tropika yang memuatkan hampir 100 spesies pokok hutan dan juga kolam ikan air tawar.

Katanya, kewujudan hutan tersebut bertujuan memberi peluang kepada pengunjung menikmati suasana persekitaran yang nyaman seperti berada di dalam hutan yang sebenar sepanjang membeli-belah.

"Dengan adanya hutan tropika buatan ini, para pengunjung dapat memanfaatkan rasa cinta terhadap alam persekitaran dan secara tidak langsung, mereka dapat menghargai warisan alam semula jadi.

"Bukan setakat itu sahaja, sambil menghayati khazanah alam yang begitu tinggi nilainya, mereka turut berkesempatan memberi makanan kepada ikan yang dijual di situ sambil membantu menyalurkan derma kepada tabung Zoo Negara. Objektif derma amal tersebut bertujuan membantu jangka hayat hidupan liar," jelasnya.

Selain itu, pelaksanaan sistem takungan dan pengumpulan air hujan, sistem penyimpanan air sejuk, pengesan bangunan automatik serta aliran pengudaraan masuk dan keluar dalam bangunan ternyata dapat memberi kesejahteraan positif kepada pengunjung.

Menurut Patrick, sistem takungan dan pengumpulan air hujan membantu pihaknya menyalurkan air hujan ke setiap tandas awam di pusat beli-belah tersebut dan air hujan juga dijadikan air untuk menyejukkan sistem penghawa dingin.

"Berbentuk kon dan dibina di atas kawasan Hutan Tropika atau Rainforest, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan penggunaan air yang banyak sekali gus mengelakkan berlakunya pembaziran.

"Selain itu, penggunaan sistem aliran pengudaraan masuk dan keluar juga memberi kesan efektif kepada pengunjung. Proses pertukaran udara ini akan berlaku pada waktu malam dengan menggunakan alat kawalan yang telah ditetapkan.

"Pengaliran sistem tersebut bertujuan mengeluarkan udara yang terkumpul di dalam bangunan ini dan menggantikannya dengan udara yang segar dan bersih dari luar," jelasnya.

Sempena menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun ini, 1 Utama turut sama mengambil peluang melancarkan kempen Go-Green Without Wrapping iaitu kempen penggunaan beg mesra alam dan sudut mengitar semula botol-botol plastik.

Paling menarik, kempen kehijauan tanpa membalut sememangnya memberi kesan mendalam terhadap pengguna di mana fungsinya mendekatkan pengguna menghargai bahan-bahan yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan seperti kertas.

Para pengunjung dididik supaya mengurangkan membalut hadiah menggunakan kertas, sebaliknya, mereka digalakkan mengikat hadiah dengan reben atau melekatkan pelekat penghargaan.


PENGUNJUNG 1 Utama turut disajikan dengan suasana tenang di sekitar kolam ikan air tawar.


Selain daripada itu, mereka juga disarankan menggunakan semula beg mesra alam atau green bag. Cara ini lebih memudahkan pembeli memasukkan barangan yang dibeli di setiap kedai.

Secara tidak langsung, Patrick menjelaskan, langkah ini dapat mengurangkan penggunaan beg plastik.

"Kami menggalakkan orang ramai membeli-belah dengan menggunakan satu beg sahaja yang fungsinya boleh dipakai semula. Ia begitu menjimatkan penggunaan plastik dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

"Dengan adanya kempen sebegini, ia dapat mendidik rakyat menyayangi bumi dan alam sekitar," tambahnya.


0 comments: