Tuesday, June 3, 2008

Dua Maut Bas Masuk gaung


ANGGOTA pasukan bomba dan penyelamat memeriksa bas persiaran yang terbabas dan terhumban ke dalam gaung di Kilometer 25.5 Lebuh raya Karak semalam. Klik pada gambar untuk melihat videonya.


KUALA LUMPUR - Dua maut, 17 cedera parah sementara enam hilang apabila bas yang dinaiki 41 penumpang dari pusat peranginan Genting Highlands terbabas dan terhumban ke gaung sedalam 20 meter di Kilometer 25.5 Lebuh raya Karak di sini petang semalam.

Seramai 16 penumpang yang lain cuma mengalami cedera ringan termasuk pemandunya dalam kejadian pukul 6.30 petang itu.

Mangsa yang terkorban berusia 40-an yang dipercayai baru kembali dari Genting Highlands untuk bercuti.

Ketua Trafik Daerah Gombak, Deputi Supritendan Rafiq Mohamed Mustafa memberitahu, siasatan awal tidak menolak kemungkinan bas berkenaan dipercayai hilang kawalan kerana jalan licin akibat hujan lebat.

Bas berkenaan yang membawa 41 penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Hentian Puduraya.

"Dua penumpang yang terbunuh adalah seorang lelaki, Lim Chai Tee, 61, dan seorang perempuan yang belum dikenali, kedua-duanya tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

"Mayat mangsa lelaki berjaya dibawa keluar pukul 6.45 petang manakala mayat mangsa perempuan pula pada pukul 8.10 malam," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.


MAYAT dua mangsa yang terbunuh dalam kemalangan tersebut.


Tambahnya, kawasan tersebut adalah dalam zon kemalangan dan pada 30 Mei lalu, berlaku kemalangan maut melibatkan treler enam kilometer dari tempat kejadian.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Rosnah Hadis berkata, seramai 16 penumpang dihantar ke Hospital Selayang manakala seorang penumpang lelaki dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

Mangsa yang terkorban dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bersama mangsa yang mengalami cedera ringan.

Sekurang-kurangnya 20 buah ambulans digunakan untuk mengangkat mangsa yang cedera dan yang terakhir dikeluarkan pukul 8 malam.

Sementara itu, seorang daripada penumpang, Ng Kien Wai, 20-an mendakwa, ketika kejadian bas tersebut dipandu laju ketika hujan lebat sebelum dia terdengar bunyi dentuman.

0 comments: