Monday, June 2, 2008

Harga Minyak Naik Ogos?

Menteri beri bayangan ekoran subsidi minyak distruktur


BEBERAPA orang rakyat warga Thailand mengisi petrol pada motosikal mereka di Rantau Panjang, Kelantan semalam.


KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad semalam membayangkan harga minyak petrol dan diesel akan naik mulai Ogos depan.

"Ia akan berlaku... harga petrol akan naik, saya fikir mungkin dalam Ogos tahun ini apabila sistem subsidi diberi penstrukturan semula," katanya.

Kenaikan harga minyak itu selari dengan penstrukturan mekanisme baru skim subsidi minyak yang dinikmati rakyat kini.

"Sudahpun ada beberapa cadangan dan mekanismenya sudah disampaikan kepada Kementerian Kewangan dan ia akan diputuskan secara terbaik," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Beliau berkata, walaupun harga minyak naik, subsidi minyak masih akan dinikmati rakyat berasaskan keperluan bukannya penggunaan.

"Kalau hari ini kita lihat subsidi yang kita terima tu, dia berasaskan kepada jumlah yang kita pakai. Kalau kita guna 200 liter sebulan pun kita akan dapat subsidi bagi setiap liter yang kita beli, kalau kita guna hanya 100 liter pun kita akan dapat subsidi, jadi bermakna tak ada sekatan kepada subsidi yang kita peroleh kerana ia berasaskan kepada kegunaan kita.

"Itu bermakna ia satu sistem subsidi yang tak terjurus kepada masalah. Sepatutnya subsidi itu kepada kumpulan yang memerlukan pertolongan dan memerlukan subsidi, bukan hanya diberikan ikut kemampuan kita menggunakannya (bahan yang bersubsidi)," katanya.

Shahrir berkata, penstrukturan itu juga adalah antara pendekatan kerajaan dalam menangani peningkatan beban tanggungan subsidi berikutan kenaikan mendadak harga minyak dunia sehingga mencecah lebih AS$130 setong ketika ini.

Beliau berkata, jumlah subsidi yang dijangka ditanggung kerajaan untuk petrol, diesel dan LPG tahun ini ialah RM56 bilion dan ia berbeza dari tahun 2000 hingga 2007 iaitu RM37.4 bilion.

0 comments: