Saturday, June 14, 2008

Jelajah ilmu London ke Paris


Pengalaman melawat kota London dan Paris bersama-sama dengan para pelajar universiti tempatan pada kali ini sungguh bermakna.


KEMASYHURAN Eiffel Tower di Paris turut diabadikan oleh delegasi ilmuan dari Malaysia.


ADA orang berpendapat, tidak dinamakan melancong jika tidak pernah menjejakkan kaki ke dua kota yang terkenal di dunia, iaitu London dan Paris. Walaupun kedua-dua kota itu terletak di negara yang berbeza iaitu Britain dan Perancis, namun kedua-duanya mempunyai nama yang besar dan masyhur di seluruh dunia. London terkenal dengan gelaran kota yang bertamadun dari segi pembangunan fizikal, pendidikan dan tarikan kepada perkembangan sosial terutamanya sebagai pusat beli-belah barangan berjenama. Paris pula dikenali sebagai kota fesyen dan kota yang romantik.

Peluang mengadakan program bersemuka (interfacing programme) bersama 30 pelajar universiti tempatan baru-baru ini telah menambah pengalaman menerokai kedua-dua kota besar itu dengan tujuan yang lebih khusus, di samping menghayati makna kemasyhurannya. Perjalanan selama 10 hari telah dimulakan dengan peluang meneroka tempat tarikan utama di kota London. Antara yang dikunjungi ialah Big Ben, Tower Bridge, Trafalgar Square, Buckingham Palace, London Eye, Covent Garden, House of Parliament, Madame Tussaud, Harrods, Oxford Street serta gedung buku besar seperti Borders, Foyles dan Blackwell. Para pelajar berasa teruja kerana dapat menghabiskan masa yang telah dikhaskan untuk mendapatkan buku keluaran terkini bagi memenuhi keperluan pengajian mereka di Malaysia. Antara buku yang menarik perhatian ialah 1000 Things to Do in Britain. Kami juga berpeluang menikmati makan tengah hari di Malaysia Hall.

Berkongsi ilmu di London

Masih segar dalam ingatan tatkala kami berpeluang berkenalan dengan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang bertugas di Britain. Mereka menjalankan tugas mengawal keselamatan di Istana Buckingham, Istana St. James, Menara London dan Istana Windsor.




Mereka terdiri daripada 130 pegawai yang berlainan pangkat dalam satu batalion. Perasaan gembira dan teruja pada wajah setiap anggota pasukan dari Malaysia itu sangat membanggakan kami dan seluruh rakyat Malaysia, apatah lagi bagi pasukan berkuda yang bertugas di Istana Buckingham. Mereka bukan sahaja berkhidmat malahan dapat mempromosikan nama Malaysia di serata dunia kerana ia merupakan tumpuan utama pelancong ke Britain.

Kami amat bertuah kerana sepanjang perjalanan ini, kami telah mendapat khidmat pembimbing program yang bukan sahaja berpengalaman, malah telah menjadi penulis lebih daripada 30 tahun dan lama menetap di kota ini. Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Wan sudi berkongsi maklumat terperinci bagi setiap tempat yang dilawati dan sering mengaitkan London dan Malaysia. Cuaca di London sukar diramalkan. Menurut Wan, cuacanya boleh berubah setiap masa. Sepanjang minggu kami berada di sana, cuacanya amat nyaman dengan sejuk hujan. Iklim ini telah merangsang perjalanan kami di kota London.

Peluang mengunjungi kota London pada kali ini lebih tertumpu pada perkongsian ilmu dalam bidang pendidikan. Nama baik London sebagai tempat tumpuan bidang pendidikan tidak dapat disangkal lagi. Lebih berpuluh ribu pelajar dari Malaysia sedang melanjutkan pengajian di seluruh Britain yang juga dikenali United Kingdom (UK). Peluang untuk mengikuti pengajian di UK bukanlah mudah diperoleh malahan memerlukan pelbagai tuntutan termasuk tahap kecemerlangan diri dan sumber kewangan yang mencukupi.


GABUNGAN pemandangan bangunan klasik dan gerai pelukis jalanan di Paris.


Para pelajar yang menyertai rombongan kami turut berpeluang mengunjungi Universiti Oxford dan mengadakan interfacing programme dengan pakar pembangunan sumber manusia di universiti itu. Kami juga berpeluang melawat sekitar Bandar Akademik Oxford. Jelas kelihatan gabungan semula jadi dengan keunikan dan keindahan bangunan asal yang dibina masih dipelihara dengan baik dan menjadi kebanggaan universiti ini sejak ditubuhkan.

Perkongsian ilmu seterusnya adalah pertemuan dengan kumpulan pelajar dalam program belia dan pembangunan di Universiti Brunel. Pelajar berkesempatan membuat perbincangan dalam mencari titik persamaan dan perbezaan belia di UK dan juga di Malaysia.

Menjelajah kota Paris

Perjalanan seterusnya ke kota Paris merupakan jelajah yang semakin mencabar berdasarkan sejarah lama antara negara Perancis dan Britain. Rakyat Perancis mempunyai pandangan yang kurang selesa terhadap rakyat Britain. Justeru, kami teringat pesanan daripada rakan-rakan di Malaysia agar tidak menggunakan bahasa Inggeris semasa memulakan urusan atau komunikasi di kota itu. Kami berbangga kerana dapat menggunakan bahasa Malaysia di negara asing walaupun hanya untuk memulakan perbualan.




Perjalanan dari Dover ke Calais mengambil masa dua jam dengan menggunakan perkhidmatan feri SeaFrance. Selesai mengerjakan solat subuh di tempat rehat dan rawat, kami meneruskan perjalanan ke kota Paris. Di kiri kanan jalan, kelihatan tanaman rape seed yang menghijau kekuningan dan menarik seperti gambar yang biasa kelihatan di skrin komputer di Malaysia. Tanaman ini sama pentingnya dengan kelapa sawit di Malaysia. Perjalanan mengambil masa tiga setengah jam untuk sampai ke Eiffel Tower. Kami bernasib baik kerana sampai lebih awal daripada pelancong lain pada hari itu. Kesempatan itu telah digunakan sebaik-baiknya untuk mengenali sejarah dan juga kedudukan menara yang merupakan bangunan tertinggi di Paris. Eiffel Tower telah dibuka secara rasmi pada tahun 1889 dan sehingga kini telah menerima kunjungan lebih daripada 200 juta orang. Dengan cuaca yang agak sejuk sekitar 5 darjah selsius, kami menyusuri Sungai Seine untuk melihat Eiffel Tower dari sudut yang lebih menarik.

Kota Paris terkenal dalam kalangan pelancong di seluruh dunia dengan jolokan kota fesyen dan kota romantik. Di kota inilah, terdapat deretan kedai atau butik koleksi fesyen ternama dan juga pewangi yang beraneka jenis. Kedudukan ini seolah-olah menuntut Paris menyediakan sistem pengangkutan yang cekap dan mudah. Pengunjung boleh menggunakan khidmat kereta api bawah tanah Metro bagi mengunjungi tempat yang menarik di Paris termasuk Masjid Paris. Seperti di Malaysia, masjid di Paris dihias dengan indah dan menarik perhatian pengunjung.

Walaupun papan tanda arah ditulis dalam bahasa Perancis tetapi kami masih dapat melawat tempat-tempat menarik seperti Champs-Elysees atau lebih terkenal dengan Place Charles de Gaulle; Notre-Dame de Paris dan Muzium Musee du Louvre yang terkenal dengan lukisan Mona Lisa oleh Leonardo Da Vinci. Tidak ketinggalan juga, kami berpeluang mengambil gambar di Arc de Triomphe yang merupakan sebuah monumen terkenal di Paris. Yang menariknya, perkhidmatan kereta api bawah tanah di sini berbeza daripada di London kerana ia lebih padat dan ada juga yang berbentuk dua tingkat.

Singgah di butik terkenal

Semasa menyusuri jalan di kota Paris untuk mencari kedai tukaran wang, kami singgah di butik berjenama seperti Louis Vuitton, Fendi, Prada, dan sebagainya. Sesetengah butik ini meminta pelanggan menunjukkan pasport sebagai bukti untuk menyokong pembelian mereka. Langkah ini digunakan mungkin bagi mengawal kualiti barangan yang dijual terutama kepada pelancong asing.

Bagi pengunjung yang mahu menjamu selera, mereka boleh menikmatinya di kedai makan kebab di sepanjang jalan berhadapan dengan Notre Dame yang terletak di Latin Quarter berdekatan dengan kedai buku tersohor di Paris, Shakespeare and Company. Kami mengambil kesempatan membeli cenderahati ketika menyusuri jalan ke Notre Dame.


LONDON EYE dilihat dari celah dua bangunan di kota London.


Notre Dame ialah Gereja Besar yang tersergam di tebing kiri bandar Paris dan menyimpan sejarah tersendiri. Ramai yang mengetahui Pocahontas filem Disney yang terkenal itu dibayangi cerita daripada latar belakang Notre Dame. Bagaimanapun, kisah seorang pemuda yang membesar di dalam Notre Dame dan jatuh cinta dengan seorang wanita Gipsi yang jelita merupakan legenda yang paling terkenal. Mungkin inilah salah satu cerita asal yang menyumbang kepada nama kota Paris yang dikenali sebagai kota romantik.

Perjalanan di kota Paris diakhiri dengan kembali semula ke Eiffel Tower. Kami berangkat semula ke London dan meneruskan perjalanan kembali ke Malaysia pada keesokan hari. Pengalaman melawat kota London dan Paris bersama-sama dengan pelajar universiti pada kali ini sungguh bermakna.

Semua peserta yang menyertai rombongan ini telah diberi tugas dan tanggungjawab sejak awal lagi bagi memastikan keselesaan serta kebajikan ahli. Sikap bekerjasama, kepemimpinan, kemahiran berkomunikasi, bertolak ansur serta kecekapan pengurusan masa telah membantu matlamat lawatan ini dicapai. Para pelajar juga mendapat dorongan motivasi hasil daripada lawatan ini.


0 comments: