Thursday, June 19, 2008

Jutawan Britain pelihara serigala


Alladale adalah kawasan hutan yang kini semakin kehilangan faunanya. Namun, seorang jutawan sanggup membeli rusa dan serigala dari luar untuk ditempatkan di situ.


PAUL LISTER bergambar di Alladale Wilderness Lodge and Reserve Sutherland, Scottish Highlands di Scotland.


SUARA serigala bergema dari celah sebuah lurah, membawa keluar ikan dari tasik dan rusa berjalan perlahan melalui hutan pain. Inilah matlamat jutawan, Paul Lister terhadap ladangnya yang terletak di Scottish Highlands, Scotland. Projek tersebut sedang dijalankan pada masa ini.

Pada tahun lalu, Lister memperuntukkan RM101,216 bagi membeli sepasang rusa di Sweden dan menghantar rusa tersebut ke ladangnya, Alladale Wilderness Lodge and Reserve Sutherland, Scottish Highlands di Scotland melalui satu penerbangan khas.

Hulda dan Hercules sering berkeliaran di kawasan yang dipenuhi tumbuhan berbunga seluas 180 hektar di hutan simpan Alladale yang turut menjadi habitat kepada babi hutan.

Matlamat Lister adalah untuk memulih kembali spesies yang hampir pupus di hutan simpan Alladale sekali gus mencapai keuntungan melalui bayaran yang dikenakan kepada orang ramai yang datang melawat.

"Alladale adalah mengenai projek pemulihan," ujar Lister, 49, anak kepada pengasas peruncit perabot Britain, MFI.

"Ia bukan tentang pemuliharaan. Tiada apa yang banyak untuk kami pelihara," katanya.

Banyak habitat lain telah musnah dan hilang disebabkan oleh perubahan iklim. Pertanian dan perhutanan ini akan berakhir dalam tempoh 5,000 tahun lagi, menurut sebuah pertubuhan kebajikan bagi pemuliharaan tumbuhan untuk semua.

Lister percaya jika beruang dan serigala diperkenalkan selepas ini, perniagaan di Alladale menjanjikan pulangan yang tinggi melalui eko-resort yang akan meningkat 10 kali ganda.

Oleh sebab itu, mereka memerlukan 100 orang tenaga kerja di ladang bagi menjana RM446 juta setahun sekali gus membantu meningkatkan sektor ekonomi negara.

Bagaimanapun, pengenalan pemuliharaan serigala menimbulkan sedikit debat apabila banyak saintis mencadangkan ia perlu dikaji dahulu sebelum dimulakan.

Ahli saintis dari Universiti Oxford dan Wildlife Conservation Research telah melaksanakan projek selama tiga tahun bagi memantau kesan pembiakan babi hutan yang sebenarnya tidak akan mengubah struktur tanah untuk tanaman.

"Apa yang sedang dilakukan adalah hampir sama dengan eksperimen saintifik. Secara sulitnya, ia tidak dibiayai dan kosnya ditanggung oleh pembayar cukai. Apa akan terjadi jika kita membiarkan dan hanya memelihara hutan Caledonian di Scotland," kata Richard Morley dalam jurnal Wolves and Humans Foundation.

Walaupun Lister tidak mampu melihat keseluruhan rancangan ini berjaya, dia telah sanggup menyertai satu perdebatan awam mengenai pemuliharaan haiwan liar di Scottish Highlands dan pengenalan semula serigala di tanah tinggi itu.

Bagi Morley yang berminat dengan pemuliharaan semula serigala sejak tahun 1960, beliau kini bimbang mengenangkan nasib alam sekitar dan melihat usaha pemuliharaan perlu dilakukan.

"Di sini, terdapat satu perasaan yang kita harus tunjukkan bahawa kita telah berubah dan kini dapat hidup bersama dengan haiwan yang dihapuskan di Britain.

Serigala adalah haiwan liar yang biasa ditemui di Britain dan merupakan pemangsa besar serta mengancam ternakan lain.

Haiwan ini pernah dimusnahkan dari selatan ke utara dan yang terakhir serigala hampir pupus di Scottish Highlands pada pertengahan abad ke-18.

"Ia juga merupakan haiwan yang masih kuat dengan ikatan budaya penduduk Scottish Highlands," kata Ian Ross jurucakap bagi Badan Kerajaan Warisan Semula Jadi Scotland. Badan ini bertanggungjawab membuat pemuliharaan dan pemulihan haiwan liar.

Scottish Highlands terkenal dengan satu watak sejarah, Wolf Badenoch yang merupakan seekor serigala yang menjadi ketua penduduk di tanah tinggi itu.

"Walaupun watak itu kini hanya tinggal kenangan, masih terdapat puisi dan lagu yang bercerita mengenai kehebatan serigala itu sehingga hari ini," katanya. - Reuters

0 comments: