Monday, June 23, 2008

Memancing ikan puyu


Homestay F'Best menanti peserta untuk menaikkan ikan puyu terberat dalam pertandingan memancing ikan puyu di homestay itu pada 28 Jun ini.


KIRA-KIRA 300 peserta pesta Ee-Puyu mencuba nasib di kolam buatan Pulau Enau di Homestay F'Best, Serting Hilir, Jempol, Negeri Sembilan pada tahun lalu.


JIKA tahun lalu, juara pesta Ee-Puyu dimenangi murid berumur 10 tahun, mampukah kejayaan itu diulangi kembali pada tahun ini.

Ikan puyu seberat 0.105 gram ini membawa tuah kepada Amarafiq Hamzah, 10, apabila berjaya membawa pulang RM1,000 setelah muncul juara pesta Ee-Puyu di tasik buatan Pulau Enau yang terletak di Homestay F'Best Serting Hilir, Jempol, Negeri Sembilan pada tahun lalu.

Murid Sekolah Kebangsaan Serting Hilir itu berjaya menewaskan lebih 300 peserta memancing ikan puyu yang rata-ratanya orang dewasa.

Mengimbas sejarahnya, pesta ini telah memasuki tahun penganjuran yang ke-6 dan setiap tahun, jumlah penyertaan semakin bertambah.

Penyertaan bukan sahaja daripada pelancong tempatan tetapi juga pelancong luar.

Spesies ikan puyu merupakan spesies ikan air tawar yang paling lasak. Sawah, tali air dan sungai kecil menjadi habitat utama spesies ini. Dengan sisik dan sirip yang keras, ini memudahkan ikan puyu bergerak di dalam tanah yang berair. Justeru, pada ketika tertentu terutama musim hujan, kebanyakan ikan puyu akan berhijrah dengan melompat keluar ke tebing sungai untuk mencari lopak air yang lain. Sifat semula jadi yang seperti inilah melayakkan ikan puyu digelar spesies ikan yang suka berhijrah.

Melihat keunikan ikan puyu inilah juga, maka pesta Ee-Puyu diadakan setiap tahun di kampung tersebut. Dengan keluasan tiga ekar, pastinya kolam buatan di kampung itu setia menanti para peserta untuk menguji joran bagi menaikkan spesies yang sebenarnya bukan mudah untuk dijinakkan.

Lebih mencabar apabila spesies ikan lain seperti ikan keli yang turut menghuni kolam buatan itu 'suka' menganggu tangkapan ikan tersebut.

Objektif pesta ini ialah untuk memperkenalkan ikan puyu sebagai trade mark kepada homestay di Serting Hilir, selain menambahkan lagi produk pelancongan yang terdapat di Negeri Sembilan.

Pesta ini dianjurkan oleh Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS) dengan kerjasama Jawatankuasa Homestay F'Best Serting Hilir, Jempol, Negeri Sembilan dan akan diadakan pada 28 Jun ini.

Orang ramai dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan acara tersebut di mana peserta hanya dibenarkan menggunakan peralatan tradisional (buluh atau betam) untuk menaikkan ikan puyu ini. Alat ini dipilih bagi mengimbas kembali penggunaan alat memancing pada zaman dahulu.

Pihak penganjur turut menyediakan buluh atau betam dengan bayaran RM2 bagi setiap batang.

Pemilihan pemenang berdasarkan kepada ikan terberat sahaja dan hanya spesies ikan puyu layak dipertandingkan.

Kira-kira 1,000 ekor ikan puyu telah pun dilepaskan pada minggu lalu dan kini menunggu kehadiran kaki pancing untuk mendaratkannya.

Pertandingan ini akan bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 10.30 pagi.

Pengurus Besar, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS), Badrul Hisham Abd. Rahman berkata, orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan sempena pesta Ee-Puyu ini hanya dikenakan bayaran RM10.

Ini merupakan acara tahunan yang merupakan pakej terkenal di Negeri Sembilan di mana Homestay F'Best muncul sebagai mercu tanda negeri ini dalam menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2008.

Juara akan menerima hadiah wang tunai RM1000, kedua RM500 dan ketiga RM300 manakala hadiah yang ditawarkan sehingga tempat ke-20 berupa barangan iringan.

"Pelbagai hadiah menarik disediakan untuk pemenang," katanya kepada Kosmo!.

Menurut Badrul Hisham, pesta Ee-Puyu yang diadakan di homestay merupakan salah satu cara mempromosikan homestay yang terdapat di Negeri Sembilan.

Katanya, Homestay F'Best ini merupakan salah sebuah homestay yang terkenal di Negeri Sembilan.

"Lebih unik, peserta dari luar negara turut dijemput khas untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini kelak,'' ujarnya.

Aktiviti lain pada pesta ini ialah pertandingan masakan ikan puyu, pertandingan mewarna, pertandingan karakoe Ee.Puyu dan pertandingan Petanque.


0 comments: