Monday, June 2, 2008

Nostalgia Kubu Heksagon

Konkrit usang dan terbiar di Kampung Jambatan Merdeka di Seberang Perai Utara (SPU) menyimpan pelbagai sejarah penting negara. Namun, tiada sebarang usaha memulihara dilakukan.


KUBU ini suatu ketika dahulu pernah menjadi pos kawalan British ketika menghadapi serangan tentera Jepun.


BAGI sesetengah penduduk Kampung Jambatan Merdeka di Seberang Perai Utara (SPU), kewujudan sebuah kubu perang peninggalan tentera British di kampung itu tidak lebih daripada sebuah struktur konkrit yang usang dan terbiar.

Selain menjadi tempat untuk penduduk menjemur ikan masin atau padi dan lokasi anak muda berehat pada waktu petang, tidak ramai yang menyedari bahawa kubu yang terletak kira-kira 20 meter dari Jambatan Merdeka itu menyimpan sejarah penting negara.

Malah, tiada usaha untuk memulihara kubu yang kini terbiar dan dipenuhi semak samun itu sebagai sebahagian daripada monumen sejarah dan tarikan pelancongan di Pulau Pinang.

Kedudukannya kira-kira 50 meter dari tebing Sungai Muda, menjadikan kubu itu antara pos kawalan penting British terutamanya ketika menghadapi serangan tentera Jepun, pada Perang Dunia Kedua.

Kubu berbentuk enam segi itu suatu ketika dahulu digunakan sebagai tempat tentera British mengawasi keselamatan sempadan Pulau Pinang di sepanjang Sungai Muda.

Bagi Abu Bakar Ibrahim, 81, kubu itu yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya sering membangkitkan nostalgianya terhadap peperangan dan pendudukan British dan Jepun di Tanah Melayu.

Ketika berusia 13 tahun, beliau melihat sendiri bagaimana pihak British membina kubu itu dengan tenaga askar India dan Sikh di kawasan hutan itu ketika beliau membawa kerbau peliharaannya makan di kawasan berhampiran.

"Pada masa itu, saya kecil lagi dan kampung ini yang dikenali sebagai Kampung Dusun Lada, sebenarnya masih dipenuhi, hutan dan tak banyak rumah. Masa perang, penduduk kampung lari meninggalkan rumah dan kampung halaman untuk bersembunyi jauh dari tebing sungai ini.

"Selain kubu, tentera British juga bina parit di sekitar tebing sungai sebagai tempat berlindung jika diserang musuh. Penduduk menamakan parit itu sebagai parit gila sebab bila musuh menyerang, semua lari lintang pukang masuk ke dalam parit itu dari semua arah untuk menyelamatkan diri," katanya.


PENDUDUK kampung berharap supaya kubu ini dipulihara dan dipromosi sebagai lokasi pelancongan.


Abu Bakar berkata, kadangkala bapanya, Ibrahim Dahman diminta oleh tentera British untuk mengawasi kawasan sungai dan tidak membenarkan penduduk kampung menyeberang ke Kampung Permatang Pasir dan Sungai Petani di Kedah dan sebaliknya.

"Kadangkala ayah minta saya menggantikan dia untuk menjaga tebing sungai itu," katanya.

Pada masa itu, kawasan Bumbung Lima, yang tidak jauh dari sungai itu merupakan pekan kecil yang menjadi tumpuan pedagang yang menjual pelbagai barangan. Antaranya termasuklah pakaian, sayur-sayuran dan bahan makanan termasuk ayam, katanya.

Menurut beliau, sekitar tahun 1942, Jepun menyerah kalah di Tanah Melayu selepas pihak tentera Berikat menggugurkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Sebelum berundur, tentera Jepun telah membuang senjata dan peralatan perang termasuk peluru serta pedang ke dalam Sungai Muda dan sekitar Kampung Jambatan Merdeka itu.

Ramai penduduk kampung menyelam di sungai itu untuk mengambil peluru serta peralatan perang yang diperbuat daripada besi, tembaga dan bahan logam untuk dijual kepada peniaga barangan lusuh, katanya.

"Bagaimanapun, telaga itu, yang terbiar sejak sekian lama, telah ditimbus semasa kerja-kerja membina sebuah lagi jambatan baru yang terletak bersebelahan Jambatan Merdeka kira-kira dua tahun lepas," katanya.

Anak lelaki Abu Bakar, Roslin, 36, berkata, kisah kubu itu selalu diceritakan oleh bapanya kepada beliau dan anak-anaknya.

Oleh kerana selalu sangat mendengar cerita mengenai kubu itu, kewujudan struktur itu dianggapnya sebagai perkara biasa bagi dirinya.

Bagaimanapun, katanya, adalah baik jika kisah seperti itu dapat dikumpulkan untuk tatapan generasi akan datang kerana selepas ini mungkin tidak ramai lagi yang tahu mengenai kubu tersebut.

Pandangan itu turut dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Guar Kepah, Mustapha Awang Kechik, 70, yang mahu kubu itu dipulihara dan dipromosikan sebagai sebahagian daripada sejarah penting negara.

Katanya, daripada cerita orang tua, kubu itu mempunyai nilai sejarah yang penting tetapi kewujudannya seolah-olah tidak dihargai dan tidak memberi apa-apa makna kepada masyarakat setempat dan di negara ini. - Bernama

0 comments: