Sunday, June 1, 2008

Pelajar Lahir Bayi Bawah Tangga


SEORANG anggota polis membawa mayat bayi di dalam baldi yang ditemui di sebuah sekolah agama di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Dalam usia masih muda, seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah agama pondok di sini terpaksa menahan kesakitan melahirkan bayi seorang diri di bawah tangga di blok asrama.

Dalam kejadian Jumaat lalu, pelajar berusia 17 tahun itu dipercayai memilih lokasi tersebut kerana ia jarang dilalui pelajar lain.

Paling mengejutkan bayi perempuan berusia tujuh bulan yang dilahirkan kira-kira pukul 12 tengah hari itu hanya mampu hidup selama lima minit sahaja.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin memberitahu, pelajar tersebut kemudiannya membalut mayat bayi itu dengan baju sejuk, skirt dan seluar dalamnya.

Ujarnya, bayi malang itu dimasukkan ke dalam baldi berwarna merah sebelum dibawa ke belakang asrama perempuan dan diletakkan di bawah ampaian kain.

"Penemuan mayat bayi yang cukup sifat itu hanya disedari pelajar selepas terhidu bau busuk.

"Mayat bayi yang masih belum berulat itu ditemui dengan tali pusatnya sudah dipotong sendiri oleh ibunya," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, penemuan mayat itu telah dimaklumkan kepada pihak polis oleh pengetua dan anggota polis tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

"Polis telah menyoal siasat para pelajar secara rambang bagi mendapat maklumat berhubung penemuan bayi berkenaan," katanya.

Akhirnya, ujar beliau, seorang pelajar perempuan yang berasal dari Hulu Terengganu mengaku ibu kepada bayi berkenaan.

Sekolah tersebut mempunyai asrama berasingan untuk pelajar lelaki dan perempuan.

0 comments: