Thursday, June 12, 2008

Terowong Cu Chi tarikan Vietnam

Teks dan Gambar Shamshul Azree Samshir


PELANCONG asing cuba memasuki terowong.

Laluan bawah tanah tentera Viet Cong dibina pada 1948 untuk menentang penjajahan Perancis dan Amerika Syarikat

JIKA mahu diukur sejauh mana tahap imaginasi mampu diteroka bila berdepan tekanan atau saat lebih kritikal hidup atau mati, Terowong Cu Chi di Ho Chin Minh City (HCMC), Vietnam boleh merungkai persoalan itu hingga apa yang dibuat bagai tidak masuk akal.

Terowong Cu Chi yang terletak kira-kira 70 kilometer atau hampir dua jam perjalanan dari HCMC atau nama lamanya, Saigon, menjadi bukti bahawa kepintaran akal menjangkaui khayalan, apatah lagi ketika terowong ini dibina pada era 1940-an hingga 1960-an, Vietnam adalah sebuah negara mundur tetapi cukup dicemburui kuasa asing seperti Perancis dan Amerika Syarikat (AS).

Sebaik kaki melangkah di Lapangan Terbang Antarabangsa Ho Chin Minh yang baru diubahsuai menyamai ciri-ciri lapangan terbang moden seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hati kagum melihat bagaimana sebuah negara yang penuh kisah duka akibat Perang Vietnam, kira-kira 40 tahun lalu mampu bangkit dan bersaing pada era globalisasi.

Ho Chin Minh yang memiliki kepadatan penduduk sembilan juta orang, persis bandaraya Asia yang hiruk-pikuk dengan pergerakan penghuninya. Kereta bersilih ganti, basikal dan motosikal yang bersaing merebut ruang di jalan sempit. Deretan kedai beraneka memenuhi setiap penjuru baik toko besar mahupun penjaja roti ala kebab yang mengandar barang jajaan ke merata pelusuk.

Selain gedung pakaian dan barangan keperluan harian, galeri seni yang menjual lukisan pelbagai medium terutama cat air membentuk landskap menarik HCMC. Rakan yang bertugas di HCMC memberitahu, rakyat Vietnam kreatif mungkin disebabkan ledakan perasaan zaman pasca perang. Ini mungkin ada kebenarannya kerana pada setiap lorong yang dilalui, tentu tiga atau empat galeri lukisan menarik perhatian dengan lukisan yang digantung dalam pelbagai posisi di luar kedai.

PENULIS (kiri) bersama pemandu pelancong dan kakitangan pengurusan Terowong Cu Chi.

Di lokasi hotel penginapan di De Tham Street di kawasan Pham Ngu Lao, HCMC, puluhan kafe dan kedai menjual cenderamata memenuhi jalanan dengan pemandangan hampir menyamai Petaling Street di Kuala Lumpur. Dengan bayaran AS$5 atau (RM15), tempahan dibuat untuk mengikuti rombongan pelancong ke Terowong Cu Chi yang menjadi lokasi wajib dikunjungi pelawat ke negara itu.

Setibanya di Terowong Cu Chi, pelancong diberi risalah yang antara lain menyebut lawatan itu membolehkan pengunjung memahami betapa kuatnya azam, semangat perjuangan dan aspirasi keamanan, kemerdekaan, keharmonian serta kehidupan selesa yang diimpikan rakyat Vietnam. Bagi mereka, tanah yang dijunjung tidak boleh ditukar ganti dengan darah mahupun maruah diri.

Pegawai petugas yang berpakaian hitam seperti askar Viet Cong dengan topi mengkuang, memberi penerangan bagaimana tentera Viet Cong hidup di dalam terowong itu pada siang hari sementara menunggu malam untuk keluar.

Bermula dengan tayangan filem hitam putih yang dirakamkan pada 1960-an, pengembaraan di Terowong Cu Chi bermula dengan pelancong ditunjukkan laluan masuk ke terowong hanya sebesar pinggang lelaki dewasa Viet Cong. Pintu kecil itu dibuat sebegitu rupa supaya tidak boleh dimasuki musuh selain ditutup dengan daun kering dan tanah.

Bagaimanapun, untuk tujuan pelancongan, laluan sejauh kira-kira 200 meter merentasi terowong dengan tiga pintu keluar dibuka dengan pintu masuk dibesarkan untuk memudahkan pelawat masuk. Ketika merangkak di dalam terowong itu, perasaan bercampur baur antara takut, cemas dan takjub melihat bagaimana terowong panas, gelap dan sempit pada ukuran satu meter hingga 0.6 meter lebar itu boleh dikorek sehingga lebih 200 kilometer.

Jika anda tidak sukakan tempat sempit, gelap, menghadapi masalah pernafasan atau fobia berada di bawah tanah, Terowong Cu Chi mungkin bukan tempat anda!


FAKTA

Terowong Cu Chi

* Mula dibina pada 1948 oleh tentera pemberontak menentang penjajahan Perancis, Viet Minh.

* Terowong bertambah kompleks sehingga melebihi 200 kilometer pada 1965.

* Dilengkapi pelbagai jaringan dengan sistem terowong bersambung menjadikannya kubu tahanan terhebat ciptaan manusia pada era itu.

* Dibina hasil tenaga empat kerat iaitu menggunakan penyedok dan bekas anyaman buluh untuk mengangkut keluar tanah yang dikorek.

* Sistem jaringan terowong yang kompleks dilengkapi dewan makan, mesyuarat, kilang senjata, hospital dan bilik bedah.

* Teknik pembinaan pintar membolehkan serangan dibuat di mana-mana saja atau kawasan strategik selain mampu memboloskan diri daripada serangan musuh.

* Pintu masuk terowong dilengkapi jerangkap samar, buluh dan besi tajam berbahaya.

* Asap dari dapur dikeluarkan melalui saluran khas dan asap yang keluar tidak naik ke udara sebaliknya lubang kecil di permukaan tanah membolehkan asap tersebar rata di atas tanah.


0 comments: