Thursday, June 12, 2008

Tuntut sendiri wang rebat





KUALA LUMPUR - Hanya pemilik berdaftar dibenar membuat tuntutan rebat tunai kenderaan persendirian bagi Fasa 1 pengagihan bermula esok sehingga 30 Jun ini dengan maksimum lima kenderaan setiap seorang.

Proses tuntutan di kaunter pejabat pos itu yang dijangka cuma memakan masa tiga minit, hanya memerlukan pemilik mengisi borang dengan nama, nombor kad pengenalan serta nombor pendaftaran kenderaan.

Selepas disahkan oleh petugas kaunter, bayaran tunai akan diberikan.

Pemangku Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, pihak ketiga atau wakil pemilik dilarang membuat tuntutan pada masa ini.

"Bagi wakil, 'runner' atau pihak ketiga, mereka hanya dibenarkan membuat tuntutan untuk Fasa 2, iaitu mulai 1 Julai ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pos Malaysia, di sini semalam.

Pada sesi penerangan kaedah pembayaran rebat itu, Ketua Unit Operasi Posniaga Pos Malaysia, Atikah Ramli berkata, Fasa 1 dikhaskan untuk pemilik kenderaan yang membuat atau memperbaharui cukai jalan antara 1 April 2008 hingga 31 Mei 2008.

"Bagi cukai jalan antara 1 Jun 2008 hingga 31 Mac 2009 pula, tuntutan hanya boleh dibuat pada Fasa 2 iaitu bermula 1 Julai ini sehinggalah 31 Mac 2009," ujarnya.




Tambah beliau, Pos Malaysia turut menyediakan enam langkah persediaan iaitu dari segi jumlah kakitangan, proses operasi kerja, tahap keselamatan, kualiti khidmat pelanggan, sistem data dan penyediaan bilik gerakan bagi menghadapi permasalahan sepanjang tempoh pengagihan rebat itu.

Cuti kakitangan juga telah dibekukan dari 14 Jun hingga 31 Julai ini untuk persediaan mengendalikan prosedur tuntutan rebat.

Turut hadir pada sidang media semalam ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Ibrahim Mahaluddin Puteh dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan.

Sementara itu, Abu Huraira memberitahu, biarpun Fasa 1 ini melibatkan 1.7 juta pemilik kenderaan, pihaknya tidak bimbang dengan kemungkinan kesesakan di pejabat pos.

"Tempoh masa yang diberi agak panjang iaitu kira-kira 300 hari (14 Jun 2008 hingga 31 Mac 2009) dan setiap urusan di kaunter pun cuma tiga minit. Tentang aliran wang tunai di pejabat-pejabat pos, saya yakin tiada masalah," katanya.

Ditanya status mereka yang sudah memperbaharui cukai jalan sebelum 1 April 2008, Huraira berkata, mereka tidak layak mendapat rebat.

"Mereka yang memperbaharui cukai jalan bagi tempoh enam bulan pula hanya boleh membuat tuntutan sekali saja dalam tempoh setahun," jelasnya.

Pada 4 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan rebat RM625 kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2,500cc.

Pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc pula diberi rebat RM150.


0 comments: