Friday, July 11, 2008

‘Pelukan ibu penawar paling mujarab’

LONDON: Pelukan ibu bukan saja berfungsi sebagai penawar sakit semula jadi paling berkesan bagi bayi malah ia membantu mereka pulih dengan lebih cepat.

Kajian sebuah universiti di Kanada, mendapati, bayi pramatang baru lahir kurang mengalami menderita jika bersentuhan kulit dengan ibu masing-masing ketika menjalani prosedur perubatan yang menyakitkan.

Selain mengesahkan kuasa sentuhan ibu, penyelidikan juga menawarkan cara lain membantu melegakan kesakitan pada kanak-kanak yang masih terlalu muda untuk mengambil pil penahan sakit.

Saintis mendaftarkan reaksi wajah, kadar degupan jantung, dan paras oksigen darah 61 bayi pramatang ketika mereka menjalani kaedah ‘heel lance’, yang digunakan untuk mengambil contoh darah pada usia terlalu muda.

Hasil kajian, yang disiarkan dalam jurnal BMC Pediatrics, menunjukkan isyarat kesakitan menurun sehingga separuh apabila bayi berada dalam pelukan ibu mereka.

Dalam masa tiga minit, reaksi bayi berkenaan kembali kepada normal manakala mereka yang tidak dipeluk masih dalam kesakitan.

Ibu diminta memeluk anak mereka, yang dilahirkan pada usia kandungan antara 28 dan 31 minggu, selama 15 minit sebelum kaedah itu dilakukan, dan terus memeluk mereka sepanjang prosedur itu.

Reaksi kepada kesakitan diukur sebelum prosedur dijalankan dengan jarak 30 saat ketika dan selepas ia dilakukan. Reaksi kemudian dibandingkan dengan bayi yang darah mereka diambil ketika terbaring di dalam inkubator.

Celeste Johnston, dari Universiti McGill, Montreal, yang mengetuai kajian, berkata keputusan menunjukkan ibu yang memeluk bayi ‘bukan hanya mengurangkan kesakitan tetapi memulihkan dengan cepat.’

Hasil kajian menunjukkan ibu kepada bayi pramatang, yang selalu berasa terpinggir dalam unit rawatan rapi, perlu digalakkan untuk bersentuhan dengan bayi mereka.

Jurucakap bagi badan kebajikan bayi pramatang, Bliss, berkata: “Faedah bersentuhan kulit dari segi memperbaiki kadar degupan jantung dan aliran suhu pada bayi, dan mengukuhkan ikatan ibu dan bayi sudah lama diiktiraf.

“Kajian ini yang menunjukkan terdapat juga fungsi pengurusan sakit tertentu dengan kaedah bersentuhan kulit mengesahkan betapa pentingnya hubungan itu.

Katanya, setiap ibu baru kepada bayi yang sakit atau pramatang perlu digalakkan bersentuhan kulit dengan bayi mereka secepat mungkin dan kerap melakukannya selepas itu. - Agensi

0 comments: