Wednesday, November 5, 2008

Awass!!!!!!!! Sarung Telefon Kulit Babi


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Amir Abd Hamid
am@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini pengguna Islam di negara ini digemparkan dengan kasut dan cekak rambut kulit babi, namun keadaan semakin parah apabila pengguna telefon bimbit pula menjadi mangsa apabila sarung alat telekomunikasi itu turut dihasilkan menggunakan kulit babi.

Difahamkan sikap tidak berhati-hati pengguna selain kerakusan pembekal mengaut keuntungan menyebabkan ramai pengguna telefon bimbit menjadi mangsa apabila sarung telefon kulit babi itu dibeli tanpa menyangka ia haram disentuh.

Seorang mangsa, Nor Sarida Idres, 22, berkata, dia benar-benar tertipu dan terkejut apabila secara tidak sengaja terbeli sarung telefon bimbit yang dihasil menggunakan kulit babi itu.

“Saya hanya mendapat tahu ia kulit babi apabila ditegur eksekutif jualan berbangsa Cina ketika singgah di sebuah kedai menjual beg di Klang, semalam.

“Eksekutif jualan kedai beg itu memberitahu sarung telefon bimbit saya cantik dan dia ingin melihatnya sebentar,” katanya.

Namun dia terkejut apabila diberitahu eksekutif terbabit sarung itu diperbuat daripada kulit babi berdasarkan tanda titik tiga pada permukaannya.

Nur Sarida berkata, sarung telefon bimbit itu sebelum ini diberi percuma ketika dia membeli telefon bimbit yang bernilai lebih RM700 di Kelana Jaya di sini, dua bulan lalu.

“Selepas mengetahui ia diperbuat daripada kulit haiwan itu, saya jijik sebab kerap meletakkan di telinga ketika menggunakan telefon bimbit,” katanya.

Menurutnya, dia yang kecewa dengan tindakan peniaga itu akan membuat aduan kepada pengetahuan Tribunal Tuntutan Pengguna.

Sementara itu, seorang pekerja sebuah syarikat hiasan dalaman kenderaan, Maihizuleffindy Mat Isa, 30, pula tidak menyangka telefon bimbit terpakai yang baru dibeli ditawarkan bersama sarung kulit babi percuma.

Menurutnya, dia membeli telefon bimbit terpakai itu pada 7 Oktober lalu daripada seorang lelaki kerana tertarik dengan harga RM450 berbanding harga asal lebih RM700.

Pemilik asal telefon bimbit itu mendakwa dalam kesempitan wang dan terpaksa menjualnya pada harga murah.

“Saya kasihan apabila dia minta tolong. Dia menawarkan telefon bimbit jenama terkenal bersama sarung kulit dan saya bersetuju membeli tanpa ragu.

“Selepas dua minggu, rakan sekerja yang mahu meminjam telefon itu untuk memuat turun lagu menyedari sarung telefon berkenaan diperbuat daripada kulit babi,” katanya.


0 comments: