Friday, November 14, 2008

Bandar Futuristik Di Teluk Danga



PEMANDANGAN dari udara sebuah pulau berhampiran Danga Bay yang akan didirikan villa eksklusif.



JOHOR BAHRU - Daripada kawasan nelayan, kini Teluk Danga bakal menjadi pusat pertumbuhan baru masa depan di Johor Bahru.

Kawasan pesisir pantai itu kini menjadi tarikan pengunjung di negeri ini termasuk dari Singapura pada hujung minggu dan cuti umum berikutan terdapat taman permainan ala 'taman tema', selain zoo mini yang baru dibuka beberapa bulan lalu.

Namun, 10 atau 15 tahun dari sekarang, Teluk Danga sekali lagi akan berubah wajah apabila beberapa projek mega bakal dilaksanakan di kawasan terbabit.

Kawasan itu yang termasuk dalam Iskandar Malaysia bakal menyaksikan pertumbuhan pesat bukan sahaja dalam sektor ekonomi, tetapi juga dalam hartanah.

Teluk Danga yang mempunyai keluasan 728.44 hektar yang merupakan tanah pesisir pantai membabitkan tiga sungai Sungai Danga, Sungai Skudai dan Sungai Melayu akan dibangunkan pelbagai fasa projek pembangunan perumahan dan komersial.

Tanah yang sebahagiannya menghadap Selat Tebrau dan Singapura itu akan dibangunkan oleh Danga Bay Sdn. Bhd. dengan nilai pelaburan sekitar RM15 bilion.

Syarikat itu diberi tanggungjawab membangunkan kawasan berkenaan dalam tempoh 15 tahun dengan pelan induknya dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pada Mei 2001.


LAKARAN artis menunjukkan pusat komersial yang akan didirikan di Danga Bay, Johor Bahru.


Pelan itu dijangka menyaksikan pelaburan berbilion ringgit masuk ke selatan tanah air dan sekali gus bakal mengubah wajah kawasan terbabit kepada bandar masa depan dengan ciri-ciri futuristik menerusi projek fasa pertama dan kedua yang giat dirancang.

Tinjauan dari udara baru-baru ini ke atas kawasan berkenaan mendapati, sebahagian projek fasa satu syarikat itu sudah disiapkan, manakala selebihnya sedang rancak dalam pembinaan.

Selain itu, tinjauan dengan menyusuri sungai pula mendapati, muara Sungai Skudai yang dahulunya terbiar dan cetek akibat mendapan lumpur hingga boleh menyumbang kepada banjir, kini siap dikorek.

Ia telah berubah menjadi sungai yang dalam, cantik dengan arus mengalir yang kaya dengan kehidupan marin serta burung-burung serta memberi sumber rezeki kepada nelayan di sekitar kawasan berkenaan.

Antara projek yang telah siap di sekitarnya ialah Apartmen Danga Bay, 'Festive Street Mall', Danga Walk, menaik taraf Pusat Persidangan, restoran antarabangsa, menaik taraf landskap, jeti mewah di Selat Tebrau, Danga City Mall dan Casa Almyra.


0 comments: