Friday, November 7, 2008

Kembali Menjadi 'Pelajar Sekolah'




SETELAH lengkap berpakaian seragam, Prebet Mohamed Hassan, 23, berbaris di hadapan bilik bersama 20 rakan-rakan lain sambil menunggu arahan daripada ketua kumpulannya. Mereka kemudian melangkah kemas dalam kumpulan menuju ke Bilik Multi Media, Pusat Pendidikan Wilayah (PPW) Markas Briged Kelapan Tentera Darat di Kem Pengkalan Chepa.

Sejak Januari lalu, rutin Mohamed yang merupakan anggota jurutera tempur di Rejimen Ketujuh Askar Jurutera Diraja (RAJD) ialah mengikuti kelas intesif bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kesemua mereka termasuk Mohamed berdaftar sebagai calon persendirian.

Sama seperti calon SPM lain di sekolah bantuan kerajaan atau swasta, mereka perlu menumpukan perhatian terhadap subjek yang diajar di kelas. Bezanya, mereka merupakan anggota tentera yang rata-ratanya telah berkhidmat antara empat hingga lima tahun.

Manakala tenaga pengajarnya terdiri daripada pegawai dan anggota tentera dari Bahagian Pendidikan, Kor Perkhidmatan Am (KPA Pendidikan) yang memiliki kelayakan serta kelulusan setaraf seperti guru-guru Kementerian Pelajaran Malaysia. Seperti calon SPM lain, Mohamed meletakkan harapan tinggi untuk memperolehi keputusan cemerlang.

"Azam saya untuk miliki segulung diploma dan ijazah sebagai bekalan apabila bersara daripada perkhidmatan tentera kelak," ujarnya.

Menurut Mohamed yang masih bujang, keputusan kurang memuaskan semasa menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) enam tahun lalu membuatkan dia bertekad menebus kegagalan selain meneruskan harapan keluarga untuk melihatnya ke menara gading.

"Semasa bersekolah dulu, kita ke sekolah kerana disuruh keluarga selain untuk memenuhi masa, manakala pergaulan sesama rakan ketika itu menyebabkan kurangnya kesedaran tentang pelajaran.


DENGAN semangat untuk mendapatkan segulung diploma dan ijazah, anggota tentera ini sanggup untuk kembali menghadap buku nota dan kelas sama seperti pelajar sekolah.


"Faham-faham sajalah, walaupun mengikuti aliran sains tulen tetapi semua subjek saya cukup-cukup makan untuk SPM, kecuali matematik dan fizik yang merupakan subjek kegemaran saya.

"Tamat sekolah saya terus masuk tentera, tetapi setelah beberapa tahun bekerja, timbul motivasi untuk membaiki kesilapan lalu. Saya bersyukur apabila pihak atasan meluluskan permohonan saya untuk mengambil semula SPM di sini," ujarnya lagi.

Menurut Mohamed, beliau diberi galakan daripada beberapa pegawai dalam pasukan agar menduduki semula SPM, seterusnya berpeluang menyambung pengajian ke peringkat diploma melalui program berkembar yang disediakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Pada peperiksaan kali ini saya daftar untuk tujuh subjek dan berazam untuk memperoleh keputusan yang baik, dan saya tidak akan berhenti belajar selepas ini hingga ke peringkat tertinggi, " ujarnya penuh yakin.

Seorang lagi penuntut, Laskar Udara Kanan (LUK) Muhammad Zaki Mansor, 26, pula memberitahu bukan mudah untuk kembali sebagai 'pelajar sekolah' bergelumang dengan buku-buku nota serta mengulang kaji pelajaran setelah lama meninggalkan alam persekolahan.

"Seperti kata pepatah, 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih', saya bulatkan tekad memohon kepada pegawai dalam pasukan untuk ke sini," ujarnya yang bertugas di Pangkalan Tentea Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak di Jertih, Terengganu.

Walaupun memiliki kelulusan kemahiran elektronik di peringkat sijil, Mohd. Zaki menyifatkan sijil SPM masih bernilai sebagai syarat asas ke menara gading.

"Tamat sekolah tahun 1999 saya menyertai TUDM, dan kini bertugas sebagai Juruteknik Elektron bagi menyenggara sistem radar.

"Mulanya timbul rasa segan nak ambil SPM sebab faktor umur, tapi motivasi daripada rakan-rakan dan pegawai pasukan menguatkan semangat saya.

"Setelah 10 bulan di sini, saya rasakan suasana pembelajaran di PPW berbeza semasa di sekolah. Kelas yang dikendalikan jurulatih cukup berkesan dan kita berani bertanya sebarang kemusykilan termasuk bersoal jawab.

"Perbezaan ketara sebab kami ke sini atas keinginan sendiri untuk mencapai kejayaan, sedangkan motivasi sedemikian tiada dalam diri semasa bersekolah, itu puncanya saya gagal dulu. Kini saya lebih serius dalam soal pelajaran.

"Hasrat saya menyambung pengajian ke peringkat tertinggi juga sejajar dengan saranan Panglima ATM yang mahu warganya memiliki setidak-tidaknya kelulusan diploma sebelum bersara," ujarnya yang bercita-cita menyambung pengajian dalam bidang teknologi maklumat.

Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Briged, Mejar Zaidi Ab. Halim menjelaskan, setiap tahun pusat itu menerima antara 20 hingga 30 calon SPM bergantung kepada kelulusan proses pemilihan yang dilakukan.


PUSAT Pendidikan Wilayah (PPW) Markas Briged Kelapan Tentera Darat di Kem Pengkalan Chepa menerima 20 hingga 30 calon SPM setiap tahun.


"Satu keunikan ATM yang jarang diketahui umum ialah ia menyediakan peluang pendidikan sepanjang hayat kepada anggotanya," ujar beliau.

Menurut Zaidi, peluang menduduki peperiksaan SPM itu antara salah satu program pendidikan disediakan ATM selain program pendidikan berkembar dengan institusi pengajian swasta dan awam serta skim pinjaman khas yang dikenali sebagai Tabung Pendidikan Angkatan Tentera (Tapat).

Ujarnya, sama seperti lain-lain PPW ATM di seluruh negara, pusat ini bertanggungjawab menyelia anggota tentera yang bakal menduduki SPM, selain tugasan berkaitan pengajian serta persekolahan anak-anak tentera di bawah kelolaan briged tersebut.

"Rata-rata pelajar di sini berusia antara 21 hingga 26 tahun, dan keutamaan permohonan diberi kepada mereka kurang cemerlang semasa bersekolah dahulu selain anggota yang memasuki perkhidmatan dengan kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Tujuannya, agar mereka mempunyai kelulusan peringkat menengah yang baik bagi peningkatan tangga gaji, manakala yang cemerlang berpeluang meningkatkan kerjaya mereka sebagai pegawai atau melanjutkan pengajian," ujarnya.

Selaku ketua pusat itu, Zaidi dibantu 12 anggota berpangkat koperal sehingga pegawai waran II yang juga merupakan tenaga pengajar di situ. Seperti guru terlatih lain, rutin harian mereka ialah mengajar serta membimbing calon-calon peperiksaan ini.

"Rutin harian di sini hampir sama seperti di sekolah, kelas bermula pukul 9 pagi selepas tamat latihan jasmani sehingga pukul 12.30 tengah hari, sebelum disambung semula dengan kelas ulang kaji dari pukul 2 sehingga 5 petang.


RAMAI calon yang mendapat keputusan SPM yang lebih cemerlang di PPW.


"Di sini kita menetapkan pelajar mengambil tujuh subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Sains, Perdagangan dan Sejarah, tetapi ada juga yang mengambil subjek tambahan seperti Pendidikan Seni, Sains Sukan, Matematik Tambahan dan Tasawuf Islam.

"Selain itu, PPW di sini turut mendapatkan beberapa tenaga pengajar luar bagi subjek terpilih untuk kelas bimbingan sebagai tambahan kepada pelajar misalnya bagi subjek Bahasa Inggeris.

"Bagaimana pun, bagi pelajar yang mengambil subjek tambahan, mereka perlu membuat persediaan sendiri kerana pusat ini tidak menyediakan tenaga pengajar, selain turut mendapatkan kertas-kertas soalan subjek-subjek tertentu dari beberapa sekolah menengah sekitar Kota Bharu," ujarnya yang turut mengajar subjek Sains dan Matematik.

Menurutnya lagi, pada peperiksaan percubaan lalu, PPW Briged Kelapan menyelaraskan jadual dan menggunakan soalan peperiksaan sama dengan sekolah-sekolah menengah negeri ini.




Zaidi yang sebelum ini merupakan jurulatih akademik di Maktab Tentera Diraja (MTD) Kem Sungai Besi menjelaskan, mereka yang terpilih menduduki SPM di pusat itu perlu memperoleh keputusan baik kerana prestasi akademik mereka dinilai dari semasa ke semasa dan boleh disingkirkan jika gagal.

"Bermula dari hari pertama lagi, saya tegaskan kepada pelajar bahawa PPW bukan tempat 'makan angin', sebaliknya tumpuan mereka di sini ialah belajar, manakala keputusan SPM yang diperoleh merupakan hadiah daripada kesungguhan tersebut.

"Hasilnya, kebanyakan pelajar berjaya memperoleh keputusan SPM yang lebih baik daripada peperiksaan dahulu, malah tidak kurang juga yang mendapat cemerlang seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat diploma," katanya.

0 comments: