Tuesday, November 4, 2008

Motosikal Kuasa Hidrogen

Bagi mengurangkan masalah pemanasan global dunia, ciptaan motosikal berkuasa hidrogen mampu mewujudkan persekitaran yang sihat dan mesra alam. Persoalannya, adakah ia efisien kepada industri dan rakyat negara ini?




MEWAH dan futuristik. Itulah perkataan paling sesuai bagi menggambarkan ciri-ciri yang terdapat pada jentera dua roda ini.

Menyerupai bentuk sebuah skuter, berbumbung, lampu hadapan berbingkai bintang, bentangan meter utama dikongsi bersama sistem perolehan data, ternyata penciptaannya begitu praktikal.

Tampil lebih spesifik, motosikal ini tidak sesekali mengeluarkan asap dan bunyi bising seperti yang lazim kita dengar pada sebuah motosikal biasa. Malah, lebih mengkagumkan apabila jentera ini tidak perlu menggunakan minyak pelincir, sebaliknya memperoleh kuasa dengan menjana sumber kuasa daripada air.

Meneliti keistimewaan enjin motosikal yang dinamakan H2 Motive ini, air yang meleleh keluar dari ekzos boleh diminum dan dijamin selamat. Begitu menakjubkan bukan?


PENCIPTAANNYA bukan sahaja menjimatkan malah bersifat mesra alam.


Kesahihannya diakui oleh Pengarah Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur, Profesor Dr. Hamdani Saidi ketika diminta mengulas mengenai kecanggihan motosikal hidrogen pertama di dunia ini.

"Hidrogen yang dihasil daripada sumber tenaga elektrik menerusi kaedah elektrolisis sememangnya satu sumber bahan asli yang selamat dan tidak berbahaya.

"Penggunaannya juga dapat menyelamatkan dunia daripada masalah pemanasan global," itulah perkataan pertama yang terlontar dari bibir Hamdani selaku ketua kumpulan Kenderaan Sel Bahan Api ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, semuanya bermula pada tahun 2004. Penubuhan sebuah kumpulan yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar universiti terbabit, berjaya menemui misi penyelidikan berkaitan penjanaan tenaga baru.

Berkat usaha dan kepimpinan yang diterapkan melalui kajian, perancangan, simulasi, rekaan dan pembinaan, akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengaplikasikan sebuah motosikal menggunakan bahan api hidrogen.


WAJAH motosikal prototaip sewaktu menjalani ujian tambahan.


Di samping itu, projek yang meliputi kos penyelidikan dan pembangunan bernilai RM1 juta itu dikatakan mampu memberi kesan mendalam terhadap perjalanan kos sara hidup seluruh masyarakat Malaysia.

Yang pasti, setelah berpeluang melihat struktur pelaksanaannya, pasti ramai tertanya-tanya, benarkah kemunculan motosikal bebas minyak itu dapat mengurangkan bebanan rakyat? Adakah ia efisien kepada industri dan rakyat negara ini?

"Nampaknya, isu kenaikan dan penurunan harga minyak petrol dan diesel baru-baru ini benar-benar meninggalkan impak yang besar. Jika sebelum ini, kita biasa mendengar alternatif seperti gas asli, elektrik, tenaga solar, kini giliran hidrogen pula menyusul.

"Justeru, idea pelaksanaannya tercetus daripada isu kenaikan bahan bakar, memandangkan rata-rata masyarakat seluruh dunia memikirkan dan mengharapkan cara dan kaedah paling efektif dalam mengurangkan kebergantungan terhadap 'emas hitam' yang harga pasarannya tidak menentu.

"Kewujudannya juga bukan sahaja mampu menjimatkan malah dikatakan bersifat mesra alam dan tidak menyebabkan pencemaran bunyi kepada pengguna jalan raya," jelasnya lagi.

Menurutnya, motosikal tersebut mempunyai keistimewaan kerana ia menggunakan air sebagai bahan yang membantu mengerakkan enjin tersebut. Ini akan menjimatkan sehingga lima kali ganda dalam penggunaan minyak petrol.

Di samping itu, penggunaannya adalah dua kali ganda lebih efisien berbanding kenderaan yang menggunakan enjin berkuasa petrol, ICE (Internal combustion engine).

"Kelajuan maksimum motosikal ini ialah 110 km/j dan boleh mencapai jarak 500 km bagi setiap satu kilogram hidrogen yang dimampatkan.

"Paling menakjubkan apabila enjin motosikal ini juga berfungsi sebagai generator dan boleh dihidupkan untuk menjana tenaga elektrik sekiranya bekalan elektrik di rumah terputus."

H2 Motive mampu menarik lebih ramai peminat di Malaysia. Ini kerana, selain menampilkan kemudahan yang selesa, ia juga mempengaruhi pengguna dalam menjaga dan memulihara alam sekitar.

"Dengan kewujudan motosikal hidrogen ini juga, negara kita akan memiliki satu lagi teknologi buatan tempatan yang serba canggih. Ia secara tidak langsung dapat mewujudkan peluang pekerjaan.

"Justeru dengan penciptaannya juga, kita tidak perlu lagi mengharapkan pembelian import terhadap motosikal hidrogen," jelasnya mengenai dorongan kejayaan projek tersebut.


DENGAN kewujudan motosikal berkuasa air ini, negara kita akan memiliki satu lagi teknologi buatan tempatan yang serba canggih.


Gembira untuk berkongsi kejayaan itu, penggunaan teknologi ini sepatutnya dapat dimanfaatkan dan diperluaskan bagi menggantikan minyak petrol sekali gus dapat menjimatkan wang pengguna.

Sementara itu juga, pengaplikasian teknologi sebegini adalah satu cara alternatif mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga minyak. Ia sekali gus dijadikan kenderaan harian buat warga kota metropolitan kini.

Beliau juga menambah, pihaknya sudah mengadakan perbincangan awal untuk memasarkannya secara komersial dalam edisi terhad. "Mengikut perancangan, motosikal H2 Motive ini akan dipasarkan pada harga RM10,000 dalam masa terdekat ini," tambahnya.

Rangkul tiga anugerah

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Perumpamaan lama itu sememangnya sesuai digandingkan dengan kejayaan yang diraih oleh kumpulan Kenderaan Sel Bahan Api ini.

Terdiri daripada pensyarah dan pelajar Pusat Perniagaan Teknologi Termaju, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mereka berjaya meraih tiga hadiah utama menerusi ciptaan sebuah motosikal yang menggunakan hidrogen di Pertandingan Cabaran Solar yang diadakan di Afrika Selatan pada 26 September lalu dan berakhir minggu lalu.

Ketua kumpulan, Profesor Dr. Hamdani Saidi berkata, motosikal yang dinamakan H2 Motive itu memenangi tempat pertama kategori Armada Hijau, Mendaki Gunung dan Anugerah Khas pada pertandingan itu.


PROFESOR DR. HAMDANI SAIDI (tiga dari kanan) bersama ahli kumpulannya pada majlis pelancaran motosikal H2 Motive di Putrajaya baru-baru ini.


Katanya, motosikal yang menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar itu menunjukkan prestasi dan kemampuan yang mengagumkan sepanjang pertandingan tersebut.

“Konsep pembinaannya adalah mesra alam kerana tidak menggunakan minyak pelincir, tidak mengeluarkan asap dan bunyi, selain bertindak sebagai penjana tenaga untuk bekalan elektrik,” katanya.

Pertandingan tersebut disertai penyelidik dari pelbagai institusi antarabangsa di seluruh dunia bagi mengetengahkan penemuan saintifik terbaru mereka.

Hamdani berkata, kejayaan tersebut sekali gus membuktikan kemampuan para penyelidik UTM adalah setanding dengan penyelidik dari negara maju.

Katanya, motosikal itu mampu bergerak sehingga kelajuan 110 kilometer sejam (kmj) dan boleh mencapai jarak 500 km bagi setiap gelen hidrogen.

“Dalam pertandingan itu, motosikal berkenaan berjaya menempuh perjalanan sejauh 4,175 kilometer bermula di Pretoria melalui Cape Town dan Durban sebelum berpatah balik ke tempat permulaan,” katanya.

Turut hadir pada majlis penyampaian hadiah ialah Duta Malaysia ke Afrika, Datuk Yahaya Abdul Jabar.


0 comments: