Friday, February 13, 2009

Bila Berada Di Bilik Akhir

6a00d83451586c69e200e54f6dd4118833-800wi

Pengalaman seorang wartawan

BILIK AKHIR yang aku maksudkan adalah bilik terakhir sebelum seseorang banduan itu masuk ke ‘chamber’ atau bilik gantung untuk menjalani hukuman gantung

aku bertuah kerana berpeluang melawat ke bilik akhir sebanyak dua kali, sekali waktu jadi wartawan akhbar, kali kedua sewaktu menjadi produser TV

tetapi bagi banduan-banduan, bilik inilah yang paling digeruni kerana ia adalah bilik terakhir sebelum mereka mendiami ‘bilik bawah tanah’

Bilik Akhir merupakan zon paling sensitif dalam sesebuah penjara di mana hanya wadar dari Unit Khas Penjara (UKP) saja dibenarkan mengawal kawasan ini

UKP ibarat komando dalam Jabatan Penjara, sangat garang dan bengis, tiada tolak ansur dalam kamus pekerjaan mereka terutama yang melibatkan keselamatan

namun satu perkara yang menarik, Blok Akhir yang menempatkan bilik-bilik akhir ini sangat bersih, rapi dan terjaga

sekali imbas ia ibarat sebuah tadika kanak-kanak

sel-sel atau biliknya juga kemas dan tidak berbau seperti bilik tahanan yang lain

banduan yang menginap ‘di sini’ juga diberikan peluang untuk tinggal seorang diri, tanpa perlu bersesak-sesak seperti sel biasa

malah mereka diberi sedikit kelonggaran untuk membawa masuk bahan bacaan dan radio kecil untuk menghilangkan kebosanan

namun yang pasti, ia juga bilik yang sangat menggerunkan kerana sangat sunyi dan terletak hanya beberapa langkah dari bilik gantung

aku akui, aku sendiri meremang bulu roma bila melalui bilik-bilik akhir ini

malah wadar bertugas pun ‘tidak begitu gemar’ untuk bertugas di kawasan tersebut, tetapi demi kerja, mereka pasrah sajalah

beberapa wadar yang aku temui juga ada berkongsi kisah-kisah seram sewaktu berkawal di sini, tetapi biarlah ia jadi rahsia aku dan mereka, kang ada yang kena histeria pulak kalau aku tulis, hehehe

aku bercerita mengenai bilik akhir ini setelah terbaca dalam akhbar hari ini mengenai seorang pengedar dadah yang dijatuhkan hukuman gantung kerana kesalahannya itu

seperti insan yang ’senasib’ dengannya sebelum ini, dia pasti akan berpeluang untuk tinggal di bilik akhir yang aku katakan itu di hari-hari terakhirnya kelak

menurut salah seorang wadar, yang mereka takuti bukan hantu atau jembalang sebenarnya, tetapi yang mereka takut sekiranya banduan di bilik ini mengambil keputusan untuk membunuh diri

ini kerana ramai di antara mereka sangat stress dan tertekan menunggu bila tarikh sebenar hukuman itu akan dijalankan

perlu diingatkan di sini, tarikh hukuman mati adalah RAHSIA BENAR, banduan terbabit hanya akan dimaklumkan mengenai perkara itu sehari sebelum hukuman dilaksanakan ke atasnya

justeru itu ada yang merayu-rayu supaya hukuman mati segera dikenakan ke atas mereka kerana tak sanggup lagi mengalami tekanan psikologi sebegitu rupa

semasa menjalankan satu penggambaran dokumentari di bilik akhir itu, aku sempat masuk ke salah sebuah bilik akhir yang tidak berpenghuni

ini kerana aku nak tengok sendiri keadaan di dalamnya, ketika itu ada dua tiga orang wadar senyum kat aku, aku buat donno je waktu tu

masa nak nak balik, salah seorang wadar yang tersenyum kat aku tadi dengan selamba berbisik kat telinga aku;

“Bilik yang Encik masuk tadi adalah bilik suami Mona Fendy yang kena gantung tu,”

Aku terdiam. Esok tu aku demam.


0 comments: