Friday, April 10, 2009

Doa Ibu Terhadap Anaknya Yang Dihukum Penjara Seumur Hidup

do1

” Selama 20 tahun di dalam penjara, ibu saya siang dan malam tidak pernah berhenti berdoa memohon agar saya dibebaskan, malah dia hampir ditipu oleh seorang lelaki yang tidak bertanggung jawab kononnya dapat mengusahakan pembebasan saya dari tahanan asalkan membayar sejumlah wang diperlukan.

”Ibu juga pernah minum air sejuk dan tidur di surau kerana hendak menyimpan duit untuk bertemu saya di penjara, kini doanya dimakbulkan, betapa besar pengorbanan ibu dan saya hampir meraung kesedihan setiap kali terkenangkan pengorbanannya yang tidak ternilai itu,” kata Abdul Halim Mohamad Yatim.

Kisah Abdul Halim pernah menghiasi dada-dada utama akhbar di seluruh negara pada 22 November 1987 setelah dia ‘mengamuk’ dan melarikan rifel M-16 sewaktu sedang disoal siasat polis kerana disyaki lari daripada tugas.

Dalam insiden di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur itu, Abdul Halim yang berumur 20 tahun ketika itu sempat mengacukan senjata dan mengugut untuk melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang mengawalnya.

Abdul Halim dari batalion Ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) malah sempat melepaskan satu das tembakan ketika itu hingga menyebabkan orang ramai yang berada di kawasan Lorong Tuanku Abdul Rahman di ibu negara bertempiaran melarikan diri.
Dia yang menjadi orang buruan selama beberapa hari itu akhirnya berjaya diberkas sepasukan anggota Cawangan Penyiasatan Khas Tentera (CPK), ironinya dia ditangkap tidak jauh dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Pada 18 Ogos 1989, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat dan enam kali sebatan ke atasnya kerana didapati bersalah di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api 1971 (hukuman lebih berat).

“Tuhan saja yang tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam peristiwa tersebut tetapi saya tidak mahu lagi mengungkit perkara yang lepas, saya terima apa yang telah ditakdirkan ke atas saya, ‘hutang’ dunia sudah saya jelaskan kini tibalah masanya untuk saya menyelesaikan hutang saya dengan Pencipta,” katanya dengan nada sebak.

Abdul Halim dibebaskan dari Penjara Kajang pada 29 Disember lalu setelah rayuannya diterima Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, dia pada mulanya hampir putus asa kerana rayuan demi rayuannya ditolak sebelum ini hingga dia merasakan riwayatnya seakan pasti berakhir di dalam penjara.

Namun, katanya, semuanya berubah apabila dia dipanggil menghadap pegawai kanan penjara kira-kira dua hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini.

“Jantung saya seakan berhenti berdegup bila dipanggil kerana menyangkakan akan berlaku sesuatu yang tidak baik, namun semuanya berubah apabila beliau memaklumkan yang saya diminta bersiap dalam tempoh segera kerana telah dibebaskan dari penjara,” katanya.

Apa yang menariknya, Abdul Halim sewaktu ditahan di Penjara Kajang pernah mencatat sejarah tersendiri apabila dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah di kalangan banduan beberapa tahun dulu.
Penganugerahan itu dibuat memandangkan pihak penjara berpuas hati dengan sikap dan perilaku terpuji yang dia tunjukkan sewaktu menjalani kehidupan sebagai seorang banduan.
Namun bagi Abdul Halim semua itu bukan datang dengan sendirinya.

Pelbagai kisah suka duka yang dilaluinya sebelum itu bahkan dia juga pernah berada di bawah kawalan khas penjara kerana terlibat dalam pergaduhan di antara sesama tahanan.

“Apa yang tak pernah saya buat dalam penjara hinggakan nyawa saya sendiri hampir melayang kerana ditikam bertubi-tubi dengan pisau dalam satu pergaduhan dalam tembok besi itu, selepas itu saya mula memikirkan mengenai kehidupan dan hubungan manusia dengan Tuhan, lantas saya nekad untuk berubah,” katanya.

Sementara itu ibu kepada Abdul Halim, Salmah (bukan nama sebenar) berkata, dia tidak pernah berputus asa mencari pelbagai cara demi pembebasan anak kesayangannya itu.

Namun, katanya, dalam tempoh itu dia diuji dengan 1001 macam dugaan dan rintangan sebelum mendapat khabar gembira mengenai pembebasan Abdul Halim baru-baru ini.

“Baik atau buruk dia tetap anak saya, saya tidak pernah sikit pun tertinggal untuk mendoakan kesejahteraannya terutama ketika mengenangkan saat-saat sukar yang perlu dihadapinya seperti ketika dia perlu melalui hukuman sebat dulu.

“Airmata yang tumpah tak siapa yang tahu, derita yang kami lalui tak siapa yang dapat memahaminya, sengsara yang kami tempuh tak siapa yang dapat merasainya.

“Abdul Halim sudah mendapat ‘bahagiannya’, doa saya agar dia dapat bertaubat di atas semua perkara yang dilakukan, memang saya derita tetapi semuanya bertukar menjadi penawar sebaik sahaja melihat dia sujud menghadap Tuhannya yang Esa,” kata Salmah.



0 comments: