Friday, August 22, 2008

Kedai halal tanya di masjid


Mencari makanan halal di Hong Kong tidaklah sesukar mana kerana di setiap ceruk bandar wilayah ini mempunyai restoran halal. Wartawan, IZYAN LIYANA MOHD DARIF yang melawat kota itu baru-baru ini melaporkan kepelbagaian menu halal Hong Kong.




HONG KONG merupakan sebuah wilayah yang meriah dengan pelbagai budaya dan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Meskipun ditadbir di bawah Wilayah Pentadbiran Khas (SAR), Republik Penduduk China, rakyat di sana tidak pernah dihalang memilih haluan hidup terutamanya isu pemilihan agama.

Selain didominasi oleh individu beragama Buddha, Taoist, Hindu dan Sikh, Hong Kong juga mempunyai 80,000 pengikut agama Islam. Kebanyakannya terdiri daripada bangsa Cina dan selebihnya dianuti oleh pedagang dan warganegara lain yang menetap serta bertugas di sana.

Antaranya dari negara Arab, Bangladesh, Pakistan, India, Indonesia, Malaysia, Timur Tengah dan Afrika. Mengimbas kembali kewujudan Islam di Hong Kong, semuanya bermula pada kurun ke-19. Kumpulan Muslim yang pertama tiba di sini terdiri daripada pedagang China yang memeluk Islam oleh saudagar Arab yang bertandang ke Hong Kong terlebih dahulu.

Justeru, dengan adanya masyarakat Muslim di wilayah berkeluasan 1,104 kilometer persegi ini maka tidak wujud masalah mencari makanan halal. Boleh dikatakan hampir setiap ceruk bandar sekitar Hong Kong menawarkan pelbagai restoran halal buat penduduk dan pengunjung beragama Islam.

Menurut Operator Pelancongan, Bux Abdul, pengunjung Muslim tidak perlu bimbang mencari restoran makanan halal kerana Pemegang Amanah bersama Dana Komuniti Islam Hong Kong bertanggungjawab menguruskan restoran halal.

"Lagipun, pelancong Muslim yang menggunakan khidmat kami sebagai pemandu pelancong akan dibawa menikmati sajian di restoran halal popular.

"Badan Pelancongan Hong Kong juga tidak ketinggalan melaksanakan tanggungjawab yang serupa. Ini kerana pemilihan makanan halal tidak boleh dilakukan sambil lewa kerana ia berkaitan dengan agama," jelas Bux Abdul yang juga beragama Islam ketika ditemui Kosmo!.




Bercerita lanjut mengenai restoran halal, Bux Abdul sempat membawa kumpulan media dari Malaysia menikmati hidangan tengah hari di restoran Ziafat. Restoran yang terletak di bandar Kowloon diusahakan oleh warga Pakistan yang menetap di wilayah itu selama lapan tahun.

Sejak dibuka sekitar Julai 2007, Ziafat yang menyajikan makanan tradisional dari negara Pakistan, India dan Arab, antara restoran halal yang mendapat sambutan pelancong Muslim dari Pakistan, Turki, Malaysia, India, Afrika dan China.

Keraguan halal tidak perlu dipertikaikan kerana logo halal sudah tertera di pintu masuk manakala dinding restoran dihiasi ayat-ayat al-Quran.

Menurut Pengurus Restoran Ziafat, Ateeq Rehman, 26, selain memesan tandoori, kari ayam dan salad, pengunjung sentiasa menempah minuman teh yang dicampur lemon.

"Teh ini, elok diminum ketika masih panas kerana aroma dan rasanya jelas terasa serta baik untuk sistem penghadaman dan kesihatan. Selain itu, teh susu, teh limau ais dan limau soda juga mendapat sambutan

"Jangan bimbang mengenai status halal. Daging-daging di sini halal kerana diimport dari Brazil," tambah Ateeq.

Sementara itu kepada penggemar dim sum, anda boleh mendapatkan dim sum halal di Islamic Centre Canteen yang terletak di Pusat Islam Osman Ramju Sadick, Oi Kwan Road, Wan Chai, Hong Kong.





PUSAT Islam Osman Ramju Sadick menempatkan masjid, Islamic Centre Canteen dan pejabat Pemegang Amanah Pertubuhan Islam Hong Kong.



LOGO dan sijil halal di Hong Kong dikendalikan oleh Pemegang Amanah Pertubuhan Islam.


"Mengapa dim sum? Seperti semua sedia maklum dim sum antara makanan tradisi masyarakat Cina secara turun-temurun. Tidak lengkap rasanya jika pelancong asing pulang tanpa menikmati keenakan asli hidangan dim sum.

"Sebelum ini orang Muslim selalu mengeluh kerana sukar mencari dim sum halal. Lalu saya mengambil keputusan mengusahakan kantin ini bersama isteri, Maryam Markar, 35, khas buat masyarakat Islam," jelas pengusaha Islamic Centre Canteen, Jaman Markar yang berusia 55 tahun yang turut mendapatkan daging halal dari China dan Brazil.

Tambah Jaman yang berdarah campuran India dan China, biasanya kantin akan sesak sebaik sahaja orang ramai selesai menunaikan solat di masjid yang terletak dalam bangunan yang sama. Penambahan jumlah pelanggan semakin ramai selepas solat Jumaat. Sehinggakan mereka tidak menang tangan untuk melayan pelanggan.

Faktor kelazatan dan kebersihan yang dititikberatkan membuatkan pelanggan sanggup menunggu tempat duduk dan berkongsi meja bersama pelanggan lain.

Sementara itu, seorang warganegara Malaysia yang kini menetap di Hong Kong, Maztura Che Omar, 34, menyangkal pendapat segelintir pengunjung Muslim yang menyifatkan sukar mencari restoran halal di sana.

Jelasnya, cara yang paling mudah mengetahui lokasi menawarkan makanan halal adalah dengan berkunjung ke masjid-masjid berdekatan. Para pengunjung berpeluang memperoleh informasi mengenai makanan halal daripada pihak petugas masjid.

"Jangan bimbang kerana petugas masjid mempunyai senarai restoran halal untuk pengunjung Muslim. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mendapatkan makanan halal di gerai-gerai yang dibuka di sekitar masjid.

"Seperti saya, sebaik sahaja sampai ke sini, terpinga-pinga juga mencari restoran dan pasar yang menjual bahan mentah halal. Tapi, masalah tersebut dapat diselesaikan selepas mendapat bantuan daripada pihak masjid," jelasnya yang mengikuti suaminya yang berkhidmat di salah sebuah bank di sana.


ABDUL RAHMAN menyediakan teh lemon di restoran Ziafat.


Selain informasi dari masjid, Maztura juga menyarankan pengunjung Muslim terlebih dahulu mencari senarai restoran halal menerusi laman web, www.DiscoverHongKong.com.

"Senarai lengkap restoran halal terdapat dalam laman web berkenaan," tambahnya yang membeli daging halal di Pasar Oriental Rock Rington berhampiran Wah Chai. Dan, dua kali seminggu, Maztura sekeluarga pasti menikmati sajian dim sum di Islamic Centre Canteen.

Jika di Malaysia pemantauan dan kelulusan lesen halal dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tetapi bagaimana pula di Hong Kong?

Menurut Pegawai Pemegang Amanah, Najeem Khan, logo dan sijil halal rasmi dikeluarkan oleh Pemegang Amanah iaitu sebuah pertubuhan Islam di Hong Kong. Sebelum meluluskan sijil halal berkenaan, pihak Pemegang Amanah akan menjalani pemeriksaan terperinci di restoran dan kedai pengeluar bekalan daging halal.

"Kebanyakan daging lembu, kambing dan ayam diimport dari Brazil dan China, memandangkan Hong Kong masih belum memiliki pusat penyembelihan halal. Namun begitu, terdapat juga isi daging seperti ikan segar dan daging ayam dijual di pasar tempatan yang disembelih oleh penjual beragama Islam.

"Biasanya Imam Masjid Amar yang menjalankan proses pemeriksaan restoran dan pasar sebelum si pemilik layak menerima sijil dan logo halal. Daging halal yang dijual di kedai Muslim pula perlu dibungkus rapi dan dilekatkan tanda halal," jelasnya sambil mengakui Pemegang Amanah begitu tegas dalam menjalani pemeriksaan kerana sijil halal tidak sewenang-wenangnya diluluskan.

Apakah kriteria untuk mendapatkan logo dan sijil halal? Tambah Najeem lagi, antaranya ialah pekedai hanya wajib menyediakan makanan dan minuman halal sahaja. Penggunaan daging khinzir dan alkohol dilarang sama sekali.

Selain itu, mereka dikehendaki menggunakan daging dan produk makanan lain yang diluluskan oleh jabatan agama dan makanan halal tidak boleh berkongsi pengangkutan, persediaan dan tempat pemprosesan dengan makanan bukan halal.

Setiap tahun pemilik premis halal perlu memperbaharui sijil halal apabila tamat tempoh.




Pada masa yang sama, Najeem memberitahu pihak Pemegang Amanah turut mengendalikan dua buah taman perkuburan dan masjid di Hong Kong. Antara masjid popular di Hong Kong adalah Masjid Shelly Street yang pertama dibuka sekitar tahun 1850 berlokasi di Central Hong Kong.

Kemudian diikuti pula Masjid Kowloon yang bernilai RM52 juta. Memiliki tiga bangunan dan empat menara, masjid ini telah dibina pada tahun 1984 menggantikan masjid yang pernah dibangunkan lapan dekad sebelumnya. Boleh memuatkan kapasiti seramai 2,000 jemaah dan turut menyediakan dewan komuniti, klinik dan perpustakaan.

"Tidak ketinggalan Masjid Ammar & Pusat Islam Osman Ramju Sadick di Oi Kwan Road, Wan Chai, Hong Kong yang turut menjadi tumpuan orang Islam sejak dibuka pada tahun 1981. Masjid ini boleh menempatkan 700 orang.

"Bangunan Pusat Islam Osman Ramju Sadick setinggi lapan tingkat itu turut menempatkan Islamic Centre Canteen dan pejabat Pemegang Amanah," kata Najeem Khan menerusi emelnya.


0 comments: