JAUH di pedalaman, seorang penghuni Rumah Panjang Banyan di Kampung Sungai Sugai, kira-kira 150 kilometer dari Sibu, tidak menduga kemahiran yang dipelajari pada usia muda berguna untuk meneruskan kehidupan.
Kepandaiannya membuat pelbagai jenis parang dengan tangan sendiri sememangnya mengagumkan. Ia pastinya bukan dipelajari dalam tempoh sehari dua.
Namun selepas 30 tahun mengusahakan parang beridentitikan Sarawak, seni tangan Tadong Mit, 53, dicari-cari penggemar parang hiasan.
Terkenal dengan panggilan Pak Tadong, kemahiran membuat parang dipelajari beliau daripada beberapa orang lama yang kini semuanya sudah meninggal dunia.
Beliau merupakan satu-satunya pewaris yang masih pandai membuat parang.
“Saya buat parang dengan kreativiti sendiri dan menggunakan kaedah tradisional. Bahan untuk membuatnya saya peroleh daripada besi terpakai kerana ia lebih jimat,” katanya.
Jenis-jenis parang yang dihasilkan dan terkenal di negeri ini termasuklah parang nyabor, parang ilang, pedang, parang panjang dan parang pendek di samping pisau penoreh getah.
Setiap parang dijual mengikut saiz, jenis dan kehalusan pembuatannya, biasanya antara RM130 hingga RM250. Tempahan banyak diterima sewaktu masyarakat memulakan penanaman padi.
Ini kerana pada waktu itu parang tajam diperlukan untuk merimba hutan atau kawasan pertanian. Ada juga yang menempah parang untuk dijadikan perhiasan rumah.
“Parang yang saya hasilkan mungkin telah dijual di seluruh Sarawak. Ada juga individu dari Semenanjung yang membelinya. Namun tempahan yang paling banyak diterima ialah pisau toreh.
“Ini memandangkan ramai penduduk di sekitar Sibu yang bekerja menoreh getah,” ujarnya. Walaupun pisau itu ada dijual di pekan, namun mereka terus menempah daripada Pak Tadong. Apa tidaknya, parang beliau dibuat mengikut cita rasa penoreh getah dan selesa digunakan.
Pak Tadong juga memiliki sebuah bengkel khusus yang dibina di tanah kebun miliknya.
Untuk ke sana dari kediaman Pak Tadong, mengambil masa 30 minit berjalan kaki, termasuk terpaksa melalui dua batang anak sungai dan sebatang sungai besar serta meredah anak bukit dan belukar.
Tambahnya, jika hujan lebat, dia tidak pergi ke bengkel kerana paras air akan naik manakala arus deras menyukarkan beliau untuk menyeberang.
“Saya ke bengkel setiap hari namun jika hujan lebat, saya tidak ke sana. Sebolehnya, saya ke bengkel seawal pagi untuk melakukan kerja membuat parang.
“Sebelah malam pula banyak dihabiskan untuk menghaluskan parang yang telah siap,” ujar Pak Tadong.
Dalam pada itu, anak lelakinya, Serang Tadong, 28, mahu mewarisi kepandaian bapanya sebagai tukang besi, sekali gus menyambung tradisi keluarga mereka dalam membuat parang yang beridentitikan warisan negeri Sarawak.
“Pada masa ini, saya sedang mempelajari kemahiran ayah dan membantunya menyiapkan tempahan. Walaupun susah, kemahiran itu jika tidak dipelajari akan hilang begitu sahaja,” katanya.
Serang berkata, bapanya tidak pernah jemu untuk menghasilkan senjata itu meskipun menyedari pendapatannya tidak seberapa.
Disebabkan bukan setiap hari bapanya menerima tempahan malah kadang-kadang tiada langsung, mereka sekeluarga turut mengusahakan kebun lada dan getah untuk menambah pendapatan.
“Walaupun pendapatan daripada membuat parang tidak menentu, yang penting kemahiran itu harus dipelajari dan diwarisi oleh generasi muda seperti saya.
“Jika tidak, 10 atau 20 tahun nanti, kita tidak akan dapat melihat jenis-jenis parang beridentitikan negeri ini lagi, walhal kita adalah anak muda yang mampu untuk mempertahankannya,” ujar Serang.
0 comments:
Post a Comment