MELAKA - Bermula dengan mengambil telur goreng, timun yang dihiris serta sedikit sambal.
Itulah aturan yang perlu diikuti sebelum menikmati mi istimewa yang lebih dikenali di kalangan pelanggan tetap gerai Hassan Hamid di Kampung Lapan, Tengkera ini sebagai mi bodoh.
Hassan, 49, sendiri tidak dapat memastikan apa alasan sebenar gelaran itu diberi tetapi beliau percaya ia mungkin kerana mi goreng tersebut sekali pandang tiada lauk.
Namun, ia sudah terbukti memikat selera sehingga ada yang sanggup beratur seawal 7.30 pagi untuk membeli RM1.80 sepinggan.
"Barangkali nama itu diberi pasal mi ini kosong tanpa lauk kecuali telur, namun ramai menyukainya.
"Ia resipi arwah bapa, saya hanya menyambung tradisi meneruskan perniagaan ini sejak 1985,'' kata Hassan.
Secara puratanya beliau menggunakan 60 kilogram mi sehari.
Bagi pelanggan setianya seperti Fairuz Abd. Samad, 22, keenakan mi ini terletak pada sambalnya.
"Mi ni kosong dan hanya berlaukkan telur goreng tapi sambal dia memang sedap dan saya akan cuba datang bersarapan di sini dua kali dalam sebulan,'' ujar Fairuz.
0 comments:
Post a Comment