Saturday, August 30, 2008

Conteng Muka Elak Tentera Jepun


Oleh arif nizam abdullah

JOHOR BAHRU 27 Ogos - ''Kami terpaksa menconteng muka dengan arang supaya kelihatan comot.

''Kalau ada yang masih hendak berhias seperti memakai lipstik dan bedak, memang jawabnya tidak selamatlah kalau terserempak dengan tentera Jepun,'' kata Datuk Fatimah Abdul Majid (gambar), 89, mengimbau ketakutan hidup di zaman penjajahan Jepun.

Bagi veteran UMNO itu, kehidupan masyarakat yang menjadi huru-hara apabila pihak penjajah mula memasuki Tanah Melayu pada 1942 masih terbayang di mata sehingga kini.

Walaupun telah 64 tahun berlalu, sukar bagi Fatimah melupakan bagaimana sedihnya apabila mengetahui gadis Melayu menjadi mangsa rogol tentera Jepun yang tidak mengira tempat dan waktu.

Disebabkan itu, katanya, dia dan rakan perempuan Melayu lain terpaksa menconteng muka agar nampak comot bagi mengaburi mata tentera Jepun.

Fatimah yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan pada zaman itu memberitahu, beliau dan kumpulannya seramai 30 orang terpaksa bersembunyi dari satu tempat ke tempat lain untuk mengelak diri daripada tentera Jepun.

Mereka juga terpaksa menyusuri Sungai Tiram hingga ke Johor Kampung (sekarang Kota Tinggi) dengan menggunakan 10 buah sampan.

"Itulah pertama kali saya naik sampan. Nasib baik air sungai tidak bergelombang walaupun arusnya berpunca dari laut.

"Dengan mengendong anak yang berusia tiga bulan, saya duduk di dalam sampan selama empat jam. Pada masa itu, kami semua hanya bertawakal kepada Allah agar dipermudahkan perjalanan kami," katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Pengalaman perit itu menurut bekas Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dari 1973 hingga 1979 itu menyebabkan, detik-detik menunggu pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu merupakan kenangan paling manis dalam hidupnya.

Perasaan ketika berdiri bersama ribuan rakyat negara ini pada masa itu, katanya, tidak digambarkan dengan kata-kata.

"Semangat kami ketika itu begitu tinggi apabila bertolak ke Kuala Lumpur sehari sebelum detik pengisytiharan dengan menaiki bas yang mengambil masa perjalanan lebih tujuh jam," jelasnya.

Fatimah ialah rakan seangkatan Tan Sri Zainun Munshi Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain dalam Kaum Ibu yang bersama-sama dengan pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar, berjuang menentang Malayan Union pada 1946.

Walaupun namanya tidak segah Ibu Zain, pengorbanan wanita ini cukup besar dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

Menyorot kehidupan wanita yang dilahirkan pada 19 November 1919 itu, beliau mencipta sejarah sebagai wanita pertama di Johor yang dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri pada 1959 dan Ahli Dewan Rakyat pada 1964.

Lebih menakjubkan, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru selama empat penggal itu masih lagi memegang jawatan Ketua UMNO Cawangan Bandar sejak 1962 hingga sekarang.

"Ahli-ahli datang sampai ke rumah merayu supaya saya kekal dengan jawatan itu," jawabnya apabila ditanya tempoh jawatan yang terlalu lama.

Bermula sebagai ahli UMNO pada 1946, Fatimah telah memegang berpuluh-puluh jawatan penting sama ada dalam pertubuhan politik atau sosial.

Antaranya, Ketua Wanita UMNO Bahagian Johor Bahru, Ketua Wanita UMNO Cawangan Bandar, Naib Ketua UMNO bahagian itu, Pengerusi Badan Perhubungan Wanita UMNO Johor dan Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

Jawatan lain ialah Pengerusi Perkumpulan Perempuan Daerah Johor, Pengerusi PERKIM Wanita Johor, Pengerusi Kolej Tunku Kursiah, Ahli Lembaga Penasihat Tabung Haji, Ahli Lembaga Pengarah Lada Hitam dan Ahli Lembaga Pengarah Kebajikan Masyarakat Malaysia.

Dikurniakan dua cahaya mata wanita hasil perkongsian hidup dengan Allahyarham Sheikh Abu Bakar Yahya yang berusia 20 tahun lebih tua daripadanya, Fatimah turut memiliki 11 orang anak angkat yang terdiri daripada tiga Melayu, dua India dan enam Cina.

"Saya memang suka kanak-kanak. Lagi pun anak saya tidak ramai. Orang dah datang hantar ke rumah, saya terima sahaja," jelasnya sambil tersenyum.

Mengakhiri perbualan, Fatimah masih menunjukkan sifat seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya sekalipun kudratnya dimamah usia.

Pertemuan dengan Utusan Malaysia terpaksa dipendekkan kerana beliau perlu bergegas ke mesyuarat Perkumpulan Perempuan Daerah Johor untuk membincangkan bantuan kepada ibu tunggal, anak-anak yatim dan warga tua sebagai persiapan menjelang Ramadan.


0 comments: