Wednesday, October 22, 2008

Kempen Pulaukan Barangan


KUALA LUMPUR - Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbesar di negara ini akan bergabung mengadakan kempen pemulauan besar-besaran terhadap produk-produk yang harganya tidak diturunkan mulai bulan depan.

Tindakan itu diputuskan sebagai tindak balas ke atas kedegilan peniaga dan pemborong yang masih enggan menurunkan harga barangan meskipun harga bahan bakar sudah tiga kali diturunkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Antara NGO yang akan mengerakkan kempen tersebut iaitu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO).

Menurut Presiden Cuepacs, Omar Osman, satu pertemuan akan diadakan antara NGO terbabit pada 13 sehingga 15 November ini di Kota Kinabalu, bagi membincangkan mekanisme bagaimana untuk mengawal harga barangan di pasaran.

"Antara hasil perjumpaan itu ialah melancarkan kempen memulau produk atau perkhidmatan yang mengenakan harga tinggi, selain pelbagai lagi pendekatan untuk mengawal harga barangan dengan efektif yang akan diserahkan kepada kerajaan untuk penilaian dan dilaksanakan," katanya ketika dihubungi semalam.

Pada Jun lalu kerajaan telah menaikkan harga bahan bakar kepada RM2.70 seliter untuk petrol manakala RM2.58 bagi diesel yang seterusnya menjadikan alasan bagi peniaga dan pemborong menaikkan harga barangan secara mendadak.

0 comments: