Sunday, December 28, 2008

Coretan Seorang Pengembara Dan Wartawan

Aku dan tsunami di bumi Aceh

quake_184_1_650

25 hb lepas genap empat tahun tragedi berlakunya peristiwa paling dahsyat di kurun ini iaitu tsunami di bumi Aceh

Aku tiba bersama rakan setugas, Zulkiflee Bakar dan jurugambar Halim Khalid tiba di Lapangan Terbang Tentera Udara Indonesia Blang Bintang, Aceh kira-kira empat hari selepas kejadian

Ketika itu suasana di bandar Aceh ibarat padang jarak padang terkukur

Ribuan mayat mula kembung dan membusuk, terbiar tanpa perhatian

Bekalan elektrik terputus, bekalan air bersih jauh sekali, jalan raya hancur, lapangan terbang tidak mampu lagi menampung kemasukan pesawat bantuan, bekalan makanan semakin terhad

Jeritan kesakitan mereka yang luka parah terdengar di sana sini, jeritan mereka yang kehilangan orang tersayang apatah lagi

Walaupun kedudukan Blang Bintang agak jauh sedikit dari bandar Aceh, namun bau busuk mayat sudah tidak mampu tertanggung lagi

Terus terang sewaktu pertama kali menjejak kaki di bandar Aceh ketika itu, aku tak tahu apa yang harus aku tulis untuk dihantar ke Kuala Lumpur

Seumur hidup aku, aku tak pernah melihat sebegitu banyak mayat di sekeliling aku

Di depan aku ada mayat, di belakang aku ada mayat, begitu juga di kiri dan kanan aku

Mula-mula sampai kami berkhemah di lapangan terbang saja, tapi disebabkan bau yang menusuk, kami berpindah dan menyewa sebuah rumah kosong di Lambaro, tak jauh dari bandar Aceh

Rupa-rupanya ia tidak menyelesaikan masalah, malah ia lebih menambah masalah

Apa tidaknya, rupanya di sebuah padang tidak jauh dari rumah sewa kami, pihak berkuasa Indonesia memilih untuk menjadikannya tanah perkuburan beramai-ramai mangsa tsunami

Sekali lagi kami dikelilingi mayat, depan mayat, kiri mayat, kanan mayat, belakang pun mayat

sanctkfc

Akhirnya selama sebulan lebih di Aceh, rutinku sehari-hari selain daripada menulis berita, adalah melihat mayat dan mencium bau mayat

Semalam genap empat tahun peristiwa itu berlaku, namun rasanya baru semalam aku berada di bumi serambi Mekah itu

Korang mungkin hanya melihatnya di kaca televisyen, tetapi aku berada di sana dan telah menyaksikan dengan mata kepala aku sendiri mengenai apa yang berlaku

Apalagi yang mampu aku coretkan…


0 comments: