Apakah keluhan dan pandangan orang ramai sekiranya institusi yang mempunyai tanggungjawab sosial itu diswastakan?
JUMAAT lalu, kerajaan memutuskan penangguhan keputusannya terhadap permintaan Sime Darby untuk mengambil alih pengurusan Institut Jantung Negara atau lebih dikenali sebagai IJN.
Semasa mengumumkan keputusan Kabinet, Timbalan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, keputusan kerajaan terhadap pengambilalihan tersebut ditangguhkan sehingga satu kajian menyeluruh dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Kesihatan serta Kementerian Kewangan.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, kajian tersebut akan memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat terutama jaminan kerajaan terhadap tanggungjawab sosialnya.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertanggungjawab terhadap penubuhan IJN menyambut baik keputusan tersebut.
Dalam blognya chedet.com, Dr. Mahathir berkata, pengurusan IJN sepatutnya dibiarkan seperti sekarang kerana institusi tersebut telah menjalankan tugasnya dengan baik kepada orang ramai.
Kata beliau, jika kerajaan berhasrat untuk meneruskan subsidinya terhadap IJN, maka tidak perlulah institusi tersebut diswastakan.
Bercakap kepada pemberita pada satu majlis di Petaling Jaya pada hari yang sama, Tun Mahathir berkata, pada pandangan beliau, IJN telah memberi khidmat yang amat baik kepada pesakitnya.
Pemandu teksi, A. Kumaresan, pula berkata, ramai dalam kalangan rakan sejawatnya berpendapat tidak sesuai bagi orang ramai jika syarikat swasta menguruskan institusi tersebut, lantas langkah untuk menswastakan IJN adalah tidak bijak.
"Kami terkejut mendengar berita tentang ura-ura penswastaan IJN. Saya dah bertanya ramai penumpang dan mereka menyatakan tidak bersetuju kalau IJN diswastakan," katanya.
Ahli akademik dan aktivis sosial, Fatimah Mansur bersetuju dengan pendapat Kumaresan.
Kata Fatimah, negara mempunyai banyak hospital dan pusat perubatan swasta yang cukup untuk keperluan orang ramai.
"Biarlah IJN seperti apa yang adanya. Memang betul, senarai menunggu untuk mendapat rawatan adalah panjang tetapi itu merupakan perkara biasa dan orang ramai memahami, asalkan mereka dapat rawatan di institusi ini," kata ibu kepada tiga orang doktor itu.
Bekas kakitangan kerajaan Wee Teck Seng, yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN pada tahun 2000, berkata, IJN adalah satu institusi yang membuka pintunya kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira siapa mereka.
Wee berkata, ramai pesakit yang menerima rawatan di IJN ialah kakitangan kerajaan, mereka yang sudah pencen dan mereka yang tidak mampu.
Katanya, mereka yang kaya dan mampu berupaya mendapatkan rawatan di institusi perubatan swasta yang banyak di negara ini.
"Setahu saya, sebelum penubuhan IJN, ramai rakyat Malaysia terpaksa pergi ke Singapura untuk mendapat rawatan (pembedahan) dan perbelanjaannya memang mahal.
"Kalau IJN diswastakan, tidak mengira apa yang dijanjikan, kami percaya lambat laun, kos rawatan akan dinaikkan selepas dua atau tiga tahun.
"Kalaulah ini berlaku, ramai rakyat akan terjejas," kata beliau lagi.
Pensyarah universiti yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Rahman berpendapat konsep penswastaan adalah baik.
"Bagaimanapun, ia tidak sesuai untuk institusi perubatan awam, apatah lagi institusi seperti IJN.
"Lihat apa yang terjadi pada penswastaan Lembaga Letrik Negara dan Telekom. Memang perkhidmatan bertambah baik dengan begitu ketara tetapi pada harga yang lebih tinggi," kata beliau.
Menurut Abdul Rahman, beliau percaya kerajaan tahu apa yang terbaik untuk rakyat.
"Saya pasti kerajaan akan membuat keputusan yang terbaik untuk kepentingan rakyat," tambah beliau.
Seorang doktor pediatrik di sebuah pusat perubatan awam di Kuala Lumpur yang enggan namanya disiarkan, berkata:
"Saya rasa pakar dan doktor di IJN tidak kisah sangat dengan pendapatan mereka.
"Bagi saya, mereka puas hati dan komited terhadap tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
"Bagi mereka, pendapatan tinggi tidaklah penting tetapi apa yang lebih penting adalah tugas mereka kepada rakyat Malaysia. Bagi saya, mereka mempunyai hati yang murni," kata beliau.
Seorang doktor di klinik swasta di Shah Alam yang mahu dikenali sebagai Dr. Muzaffar, berkata:
"Saya pasti pakar dan doktor di IJN puas hati dengan keadaan sekarang. Saya berani kata khidmat yang mereka berikan adalah amat baik.
"Tidak pernah terdengar rungutan terhadap mereka dan saya percaya, mereka telah melaksanakan tugas dengan baik. Mereka sebenarnya adalah wira-wira negara," tambah beliau.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), pada Jummat lalu juga telah menyatakan bantahan terhadap rancangan penswastaan tersebut.
Seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Ida, 40, berkata, beliau amat terhutang budi kepada IJN.
Menurut ibu kepada tiga anak ini, anak bongsunya yang sekarang berumur 16 bulan, dilahirkan dengan masalah jantung berlubang yang serius.
Doktor mendiagnosis anak Ida sebagai mempunyai Total Anomalous Pulmonary Venous Drainage (TAPVD), Patent Foramen Ovale (PFA) dan Patent Ductus Arteriousus (PDA).
Pakar IJN berjaya melakukan pembedahan Total Intra Cardiac Repair ke atas bayi tersebut pada 23 November tahun lalu yang mengambil masa selama lapan jam.
"Doktor di hospital yang lain telah menyatakan masalah tersebut terlampau rumit dan tidak banyak boleh dilakukan untuk membantu bayi saya.
"Saya dinasihat mendapatkan pandangan kedua dari IJN, dan pakar di situ telah menyatakan satu pembedahan untuk membetulkan masalah tersebut boleh dilakukan," kata Ida, sambil menambah anaknya itu sekarang sudah sihat. - Bernama
0 comments:
Post a Comment