Jujurnya, Aidiladha yang berkunjung tiba hari ini tidak mendatangkan banyak keterujaan bagi segelintir individu, namun mukjizat Aidiladha sebenarnya sangat manis untuk dikecapi bagi yang tahu menikmati zatnya.
Mengizinkan diri untuk menunaikan ibadat korban dengan menumbangkan binatang peliharaan yang cukup syaratnya untuk dikongsi bersama insan lain adalah pahala yang tidak terhitung banyaknya oleh kita semua.
Itulah tuntutan sebenar Aidiladha, bukan untuk berpesta tetapi tanda kesyukuran atas rezeki daripada Allah.
Jangan pula, erti Hari Raya Aidiladha ini hendak disamakan dengan 1 Syawal yang telah lebih dua bulan meninggalkan kita. Jangan juga melihat Aidiladha sekadar Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji semata-mata.
Biarpun tidak berkorban lembu atau kambing, dihari kebesaran umat Islam ini, ingin Kosmo! mengajak para pembaca yang budiman leka sebentar dengan pengertian pengorbanan beberapa nama popular. Mereka merasakan Aidiladha ini dekat bersemayam di jiwa, sementelah jalan berliku telah direntasi selama ini.
Lebih dalam lagi, mereka pernah melalui ‘zaman kabur’, zaman sebelum mengenal cahaya Islam dan zaman yang membawa mereka ke arah kedamaian hidup yang mereka cari bergelar mualaf.
Barangkali, di sebalik penghijrahan menemui cahaya Islam itu, ada pengorbanan yang telah mereka lepaskan dan ada kehidupan mereka tinggal-tinggalkan.
Tatapi hati budi dan perasaan beberapa anak seni tempatan ini yang telah melakukan penghijrahan besar dalam kehidupan mereka.
|
|
Wani Wendy Wong Abdullah
Nama bukan Islam: Wendy Wong
Tarikh masuk Islam: 28 November 2008
“Terasa seperti bayi yang baru lahir,” Itulah perasaan saudara baru Islam di kalangan artis yang terbaru. Perasaan seperti baru saja menjengah dunia itu dirasakan selepas dia mengucap dua khalimah syahadah baru-baru ini.
Satu pengorbanan besar baginya, kerana banyak perkara yang biasa dilakukannya sebelum ini mungkin tidak boleh lagi dibuatnya lantaran arahan agama yang suci.
“Sebelum masuk Islam, saya dikir dua kali sebab banyak perkara yang boleh dan tidak boleh kita buat perlu saya fahami.
“Saya bersyukur sangat kerana menganggap ini sebagai takdir saya untuk meneruskan kehidupan ke arah yang benar.
“Kak Chah (Habsah Hasan) juga banyak menjelaskan tentang Islam sebelum ini dan ia membuatkan hati saya lebih terbuka untuk bertukar agama,” ujarnya yang agak segan untuk menceritakan transisi hidupnya itu.
Tambahnya sebelum ini, Wani pernah diajak untuk berhijrah kepada Islam bersama-sama teman-teman yang lain, cuma mungkin pada ketika itu, hatinya belum terbuka.
“Sepuluh tahun yang dulu, Eddie Pak serta kawan-kawan yang lain yang sudah memeluk Islam mengajak saya untuk bersama dengan mereka. Masa itu saya tak bersedia lagi.
“Sekarang ini saya sudah benar-benar bersedia untuk menjadi seorang Islam. Hidup saya memang berubah dan saya berharap agar lebih banyak yang dapat saya pelajari tentang agama ini. Saya sedar banyak yang perlu saya belajar,” katanya yang akan ke China untuk membuat dokumentari khas mengenai Islam di sana.
|
|
Tony Iskandar Alberto (Spider)
Nama bukan Islam: Bernado Alberto
Tarikh masuk Islam: Bulan puasa, 2004
Satu pengorbanan yang agak besar buatnya kerana dahulu lelaki ini seorang pemegang agama Katolik yang kuat. Boleh dikatakan dialah pakar kitab Kristian yang sering menjadi rujukan ramai suatu ketika dahulu.
Atas kerana mahu mencari sesuatu yang lebih mendalam mengenai hidup, Tony melepaskan tiang agamanya yang lama menggantikan dengan yang baru iaitu, Islam.
“Terus terang saya katakan, dulu, ketika saya masih beragama Kristian, budaya hidup saya sangat berbeza berbanding sekarang. Bila dah masuk Islam, banyak perkara yang perlu saya adaptasi. Dan ini juga merupakan satu pengorbanan buat saya.”
Memang pada awalnya menjadi seorang Muslim, ada juga perkara yang membuatkan dirinya merasa susah dan gusar. Takut tersalah pilih.
“Tapi kerana percayakan Allah saya teruskan perjuangan saya untuk masuk Islam. Sebelum menjadi seorang mualaf, saya berfikir sekejap, dalam kehidupan ini kita memerlukan undang-undang untuk hidup di landasan yang betul. Apa yang boleh dan tidak untuk dibuat,” ujarnya.
|
|
Nazrey Johani (bekas kumpulan Raihan)
Nama bukan Islam: Alexander bin Lajip
Tarikh masuk Islam: Disember 1982
Bagi sesiapa yang baru saja mengenali Nazrey, pasti mereka tidak sangka bahawa lelaki ini asal kelahirannya bukan sebagai umat Muhammad. Dia lahir dari kalangan keluarga bukan Islam pada awalnya.
Bagi Nazrey, apabila memasuki Islam, dia bersungguh-sungguh untuk memahami ajaran Islam agar memudahkannya untuk mengamalkan Islam.
Apa yang dirasakan Nazrey, Islam bukanlah satu agama yang sukar difahami, sebaliknya jika dituruti, segala yang dilakukan berjalan dengan mudah.
“Satu perbezaan yang agak besar buat saya selepas memasuki Islam. Jika dulu saya sembahyang hari minggu saja, sekarang ini lima kali sehari.
“Apa yang saya nampak, setelah memahami Islam, tanpa disedari, banyak ibadah yang kita lakukan seperti membantu orang-orang fakir miskin lebih-lebih lagi di hari raya Aidiladha ini.
“Saya bersyukur sangat bila melihat sebilangan artis-artis tempatan kini menjadi sebahagian daripada keluarga kita. Perlu diingat, Islam ini agama kebenaran. Jika ada orang yang sedang mencari agama yang benar, InsyaAllah, Allah akan tunjuk jalan.
“Cuma saya harap, mereka tidak masuk Islam kerana kahwin atau cinta sebab pegangan mereka nanti akan goyah dan tidak akan bersungguh-sungguh untuk belajar,” katanya yang turut mendoakan kepada Allah agar memberi hidayah kepada mualaf-mualaf baru yang lain.
|
|
Mohamad Aliff Najmi Abdullah
Nama bukan Islam: Pak Mun Kwong@ Eddie Pak
Tarikh masuk Islam: Aidilfitri, 1996
Bila mengenal Islam, perkara biasa yang akan dilalui ialah apabila perubahan hidup akan berlaku sedikit demi sedikit.
Begitu juga dengan Aliff, jika suatu masa dahulu dia sering bersikap mengabaikan keluarga, selepas memeluk Islam perangai negatif itu berakhir sudah.
Aliff mengakui, dengan petunjuk Allah, dia kini lebih fokus kepada keluarganya.
“Dulu saya suka buat hal saya sendiri, tapi sejak masuk Islam, fokus utama saya ialah keluarga, dan saya sanggup berkorban apa saja untuk mereka.
“Menjadi seorang Islam, banyak ilmu yang perlu kita pelajari. Sekarang ini, walaupun saya masuk Islam dah lama, tapi banyak lagi perkara yang saya tidak tahu,” katanya.
Aliff juga tumpang gembira dengan perkembangan terbaru wanita yang pernah menjadi rakan karibnya, Wendy Wong yang baru saja mengikut jejak langkahnya dan rakan-rakan lain, memeluk agama Islam.
Menurut Aliff, dia begitu gembira tentang berita ini.“Alhamdulillah, akhirnya dia masuk Islam. Dulu dia pernah luahkan keinginan untuk berhijrah, tetapi mungkin waktu itu belum sampai masanya lagi.
“Saya suka sangat dengar berita Wendy akhirnya jadi saudara kita. Apalagi bila hampir dengan saat-saat Aidiladha, saya rasa ini satu pengorbanan besar untuk dirinya. Saya mahu berkongsi gembira buat Wendy” tambahnya lagi.
|
|
Adam Corrie Lee Abdullah
Nama bukan Islam: Lee Choon Kooi
Tarikh masuk Islam: 13 Julai 2007
Bila bercerita mengenai raya haji, dia begitu teruja dengan sambutan ini, apatah lagi bila dapat menyambut bersama isteri tersayang buat pertama kali.
Cuma, apa yang dikesal, dia tidak sempat untuk membuat tempahan lembu korban kerana kesempitan waktu.
“Sebenarnya saya begitu teruja. Cuma tahun ini, bila nak buat tempahan korban, saya dah terlambat. Rasa rugi sangat, mungkin tak ada rezeki agaknya,” katanya.
Menjadi seorang Islam yang baru setahun jagung, banyak perbezaan dialaminya. Di mata kasar umum, mungkin ia sekadar perubahan kecil dilakukannya. Namun perubahan ini adalah satu pengorbanan yang besar buat Corrie.
“Banyak transisi hidup sebelum ini telah saya tukar. Contohnya, sekarang ini saya perlu menjalani ibadat solat lima waktu sehari dan juga pergi sembahyang Jumaat. Dari situ, banyak perkara baru yang saya dapat belajar.
“Kalau anda nak tahu, saya masuk Islam kerana Kaabah. dari dulu lagi (sebelum masuk Islam), saya begitu beria-ia nak pergi ke tanah suci itu. Bila saya melihat kaabah dalam tv, ia seolah-olah memanggil. Dan saya tahu di sana, orang-orang bukan Islam dilarang untuk masuk.
“Lepas itu, bila saya masuk Islam lalu saya pergi membuat umrah, rasa gembira yang sukar untuk digambarkan bila menjejakkan kaki di Masjidil Haram,” jelas Corrie.
|
|
Sharon Paul Abdullah
Nama bukan Islam: Sharon Paul
Tarikh masuk Islam: 2006
Bertanyakan apakah pengorbanan besar sepanjang hayatnya, Sharon memberitahu: “Bercerita mengenai erti pengorbanan, ia sangat luas untuk di definasikan. Macam saya, kini saya sanggup berkorban untuk keluarga dan juga agama.
“Semua orang tahu bila bertukar agama, banyak transisi kehidupan akan berlaku. Bila saya masuk Islam, saya cuba memahami pengertian Islam itu sendiri. Pernah satu ketika, saya keliru kerana orang selalu campur-aduk antara budaya dan agama.
“Dan banyak orang salah faham tentang agama Islam yang dianggap susah. Tapi bila saya belajar tentang Islam, ia tidaklah sesukar mana. Cuma orang suka kaitkan dengan budaya mereka sendiri dan membuatkan kekeliruan timbul,” katanya.
Baru sahaja mendirikan rumah tangga, wanita ini belajar ilmu tentang agama barunya bersama-sama suami, pelakon Rusdi Ramli.
“Alhamdulillah, saya berjaya membuang kekeliruan itu dengan banyak membaca buku-buka agama, bertanya suami dan kawan-kawan lain,” katanya.
0 comments:
Post a Comment