Sunday, December 28, 2008

Nyaris Maut Dihempas Ombak



COCKLE (dalam bulatan) dihempas ombak selaju 65 kilometer sejam di Cornwall, England baru-baru ini.



LONDON - Seorang peluncur ombak, Jacob Cockle nyaris maut selepas dia berdepan dengan sebuah jeti batu ketika ombak besar setinggi 10 meter berada di belakangnya sewaktu dia meluncur di Cornwall, England, lapor sebuah akhbar semalam.

Cockle, 23, hampir mati lemas apabila ombak itu tiba-tiba muncul dan bergerak ke arahnya pada kelajuan melebihi 65 kilometer sejam.

Pemuda itu cuba mendayung papan peluncurnya ke kawasan selamat tetapi arus kuat menggagalkan usaha tersebut sekali gus menyaksikan dia dilambung ke udara apabila ombak dengan tekanan tujuh tan itu menghempas dirinya.

"Jeti batu itu menghalang laluan saya dan saya melihat ekor ombak itu berada di depan saya. Ombak itu bagaikan menggunung dan saya tidak dapat melepaskan diri," katanya.

Namun, selepas tenggelam agak lama di dalam laut, dia bernasib baik kerana dapat naik ke permukaan dan berenang balik ke pantai tanpa sebarang kecederaan dalam kejadian ngeri yang berlaku awal bulan ini.

"Ombak itu sungguh kuat dan menekan saya ke dalam laut bagi tempoh panjang tetapi akhirnya saya berjaya berenang ke pantai," ujarnya. - Agensi


0 comments: