Monday, January 5, 2009

Kenangan Di zaman Persekolahan

Duduk atas tin biskut

Apakah yang berlaku pada hari pertama mula menjejaki alam persekolahan? Wartawan ADHAM SHADAN dan AQMAR ALLADAD mengupasnya dari konteks zaman.




HAMPIR setiap seorang daripada kita telah melalui hari itu. Ia hari bersejarah yang secara tidak langsung 'membentuk' kita pada hari ini. Pada hari tersebut, kita mula mengenali bilik darjah, papan tulis dan seorang bernama 'cikgu'. Hari yang dimaksudkan ialah hari pertama menjejaki ke alam persekolahan.

Pada hari itu juga, jadual hidup kita tiba-tiba berubah. Daripada boleh bermain sepanjang hari atau berada di pangkuan ibu bapa seharian, tiba-tiba kita perlu bersiap mengenakan pakaian seragam sekolah dan pergi mengikuti pendidikan formal.

Di dalam kelas, kita lihat kanak-kanak yang seusia kita dihimpunkan bersama-sama. Duduk di bangku, berwajah penuh teka-teki seakan mahu menyapa salam perkenalan. Hari itu juga kita mula kenal 'waktu rehat' dan tempat yang dipanggil kantin.

Tidak ada apa yang benar-benar kebanyakan kita harapkan pada hari itu melainkan deringan bunyi loceng yang menandakan tamatnya waktu persekolahan.

Hari ini, tanggal 5 Januari, lebih 500,000 kanak-kanak di negara ini berhadapan dengan detik itu sama seperti yang pernah kita lalui. Pengalaman mula memasuki tahun satu sekolah rendah akan dirasai mereka. Cuma mungkin persekitaran dan suasananya yang berbeza. Mana tidaknya, perubahan zaman menjadi paksinya.


SEKARANG terdapat hari suai kenal yang diadakan sehari sebelum hari pertama persekolahan.


Bagi pesara kerajaan, A. Ghafar Hasnan, 60, pengalamannya mula memasuki sekolah pada tahun 1955 di Sekolah Melayu Sri Molek, Parit Tariman, Batu Pahat, Johor akan terpahat utuh dalam ingatannya.

"Ia satu nostalgia yang akan diingati sampai bila-bila. Paling saya ingat, hari pertama pergi sekolah ialah pakai songkok, baju putih, berseluar pendek dan duduk di atas tin biskut.

"Sekolah saya sekolah kampung. Masa itu negara belum merdeka. Sekolah saya selalu menerima bekalan biskut dan biskut itu diberikan kepada murid-murid. Tin biskutnya pula 'dikitar semula' menjadi bangku apabila bangku tidak cukup. Biasanya, yang guna tin biskut sebagai bangku ialah kelas budak darjah satu," kata Ghafar ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


SAMA ADA dulu atau sekarang, melihat murid tahun satu menangis pada hari pertama sekolah adalah biasa dan tidak pernah berubah.


Ceritanya, pada hari pertama bersekolah, dia hanya ditemani oleh kakaknya yang menuntut dalam darjah tiga di sekolah yang sama. Ibu bapanya, seperti biasa, mencari rezeki menoreh getah.

"Pagi itu, saya ikut kakak jalan kaki ke sekolah sejauh dua kilometer. Lalu pula bawah pokok getah. Sambil jalan, nampak orang lain pergi sekolah, kami jalan sama-sama.

"Yang pergi daftarkan saya pun kakak. Bukan tidak ada ibu bapa yang ikut sama ke sekolah daftarkan anak mereka, tetapi bilangannya tidak ramai. Banyak yang diurus oleh abang atau kakak. Mungkin abang-abang atau kakak-kakak zaman dulu lebih berasa tanggungjawab sebagai adik-beradik yang lebih tua. Lagipun, kalau di tempat saya, penduduk kampung ramai yang hidup susah. Ibu bapa lebih fikirkan soal mencari sesuap nasi untuk menyara anak-anak," katanya.

Menurut Ghafar, macam-macam ragam dapat dilihat pada hari pertama sekolah.

"Yang menangis pun ramai, yang buat bising bergendang tin biskut pun ada. Yang pergi sekolah berkaki ayam pun ada.

"Tahun satu hanya ada satu kelas. Tidak silap saya, kelas saya mempunyai 40 murid. Ketika pergi sekolah, saya bawa papan batu. Dulu-dulu mana ada buku tulis," katanya sambil menjelaskan tidak wujud sebarang kelas prasekolah atau tadika pada zamannya.

Sementara itu, Harun Sudin, 72, bercerita, pada zaman dahulu tidak ditetapkan usia untuk memasuki tahun satu. Itulah sebabnya biasa dilihat ada murid tahun satu yang berusia lebih daripada tujuh tahun.

"Bukan sahaja masuk darjah satu tidak tentu usia, kadang-kadang ada yang sudah berada dalam tahun satu bertahun-tahun tetapi masih tidak dinaikkan ke tahun dua," katanya yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Batu 20, Jeram, Selangor.

Selepas merdeka, zaman memakai papan batu sebagai buku tulis pun berakhir dan digantikan dengan papan hijau.

Memasuki era 1970-an, zaman mulai berubah sedikit. Bagi suri rumah, Roziah Mat, 45, yang memasuki darjah satu di Sekolah Kebangsaan Si-Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan pada tahun 1971, dia teruja untuk ke sekolah.

"Dua tiga hari sebelum masuk sekolah, saya sudah mencuba-cuba pakaian sekolah. Saya pula memang jenis yang sebelum ini jarang keluar rumah. Jadi, masa itu saya fikir pergi sekolah bolehlah cari ramai kawan," katanya.

Pada hari pertama sekolah, dia ditemani ibu tetapi ibunya tidak tunggu lama dan hanya menjemputnya bila tiba waktu pulang ke rumah.

"Tapi, pelik juga, bila sampai sekolah ada juga yang saya tengok menangis. Mungkin kerana pada zaman itu, tidak ramai yang mengikuti pendidikan prasekolah atau tadika. Tadika masa itu sudah ada, tetapi amat sikit bilangannya dan tidak ramai yang mengikutinya.

"Pada hari pertama di sekolah tidak ada belajar sangat, tetapi cikgu ada bagi sehelai kertas panjang seperti kertas A4 untuk kami lukis dan warna," katanya.

Roziah sempat membayangkan cabaran yang dihadapi oleh guru tahun satu pada hari ini berbanding pada masa dahulu.

"Dulu, apa yang kami belajar di sekolah itulah yang kami mula-mula belajar. Masa masuk darjah satu itulah kebanyakan kami mula mengenal huruf A. Sekarang, cabaran untuk cikgu darjah satu tidak seperti dulu kerana anak-anak murid dah pandai kenal huruf dan mengeja, bahkan ada yang sudah pandai membaca," katanya.

Pegawai kerajaan, Mohd. Sharifudin Khairudin, 27, pula bercerita kisahnya memasuki darjah satu pada tahun 1988 di Sekolah Kebangsaan Sungai Raya, Ipoh, Perak.

"Masa hari pertama masuk sekolah, saya tidak sedih sangat sebab pernah masuk tadika. Tapi, memang adalah yang menangis. Yang berpaut pada tangan dan kaki emak dan ayah pun ada.

"Seperti biasa, hari pertama sekolah memang macam-macam ragam dapat dilihat. Yang takut-takut pun ada, yang nakal-nakal pun ada, yang bosan sampai tidur pun ada.




Ceritanya lagi, pada zaman itu, jika anak-anak masuk darjah satu penuh di kelas, ibu bapa pula penuh di kantin sampai waktu rehat.

"Ada juga ibu bapa yang sibuk meninjau-ninjau dari tingkap sampai habis kelas," katanya.

Seperkara lagi yang diingat ialah trend biasa dalam kalangan murid tahun satu zaman tersebut.

"Hari pertama sekolah lagi, ramai yang sudah bawa bekas air bentuk telefon bimbit. Saya pun ada bekas air macam itu," ujarnya tertawa.

Hari ini keadaan semakin berubah. Bukan sahaja kanak-kanak sudah biasa diperkenalkan dengan sekolah tadika, bahkan sebelum memulakan hari pertama persekolahan secara rasmi lagi sudah ada hari yang digelar hari suai kenal. Hari suai kenal dipercayai mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 1990-an.

"Masa hari suai kenal kami dikumpul mengikut kelas. Masing-masing memperkenalkan diri, hobi, cita-cita dan sebagainya.

"Tetapi, masa hari pertama sekolah, masih ada juga rakan yang menangis. Yang sampai berlari kejar motor emak dia pun ada," kata Raja Mohd. Aiman Raja Norsan, 12, yang memasuki darjah satu di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur pada tahun 2004.


HARI pertama sekolah menjadi hari yang paling dikenang oleh kebanyakan daripada kita.


Walau apa pun kisahnya dan biar apa pun ragamnya, hari pertama sekolah tetap satu hari yang bermakna. Kalau ada seorang guru, pensyarah, peguam, doktor atau Perdana Menteri yang berjaya pada hari ini, hari pertama persekolahan merupakan antara penyumbang kepada permulaan masa depan mereka.

0 comments: