Saturday, December 27, 2008

Alexander Bukan Zulkarnain?

Sedutan dr blog Syirfan

Oleh FIRDAUS SAHAT

112-alexander-the-great1

Islam indah dan kekuasaan Allah SWT pula meliputi seluruh alam semesta yang sukar untuk kita ungkaikan. Namun sebagai manusia, ia menjadi lumrah untuk kita mengkaji kebesaran Allah. Dalam al-Quran menerusi surah Al-Khafi ada menceritakan mengenai siapa Zulkarnain.

Namun jangan pula kita bandingkan sejarah yang ditulis dengan tangan sendiri menerusi apa yang dinyatakan dalam al-Quran. Yang kita tahu, Zulkarnain pemerintah Islam yang agung. Karektornya berbeza jika hendak disamakan dengan Alexander.

Dalam pemerintahan Zulkarnain, pemerintah Islam ini tidak mengangkat pedangnya terhadap kanak-kanak dan wanita, tetapi Alexander pula menghapuskan sesiapa saja yang menjadi penghalangnya.

Malah, kajian ilmuan dan sarjana Islam seperti Seyyed Ahmad Khan (pentafsir Quran terkenal), Molana Abolkalam Azad (Menteri Kebudayaan India), Baha’eddin Khomrashahi dan Dr Muhammad Ebrahim Bastabi Parizi turut menyangkal Alexander adalah Zulkarnain.

Sedikit sebanyak, perkara sekecil ini cukup untuk membuatkan kita berfikir. Malah, ia juga menggerakkan anak tempatan untuk mengkaji dan merakamnya dalam bentuk dokumentari siapakah Zulkarnain dan Alexander The Great.

Menurut pengarah dokumentari berjudul Alexander Bukan Zulkarnain iaitu Syirfan Indra Mitra Surya Husin, dalam kepercayaan masyarakat Melayu, Alexander dan Zulkarnain adalah orang sama. Katanya, sejarah itu sudah tertulis berabad-abad lamanya, jadi ini menjadi ikutan masyarakat kita.

“Begitupun jika dikaji semula, banyak persoalan yang timbul mengenai dua tokoh ini. Sekalipun masyarakat dunia turut mempercayai mereka orang sama, kebenaran itu belum diketahui.

“Selepas kajian selama dua tahun sebelum bergerak menjelajah dunia, kami mendapati banyak persoalan dan pendapat yang bercanggah.

“Begitu juga ketika mencari bukti dan peninggalan dua tokoh ini di serata dunia, banyak juga persoalan yang menafikan mereka orang sama. Lagipun, kajian tokoh agama juga menafikan mereka orang sama.

Jadi, sekumpulan produksi dari Firdaus Maju Production (FMP) ditubuhkan untuk merakam dokumentari ini. Bukan mahu menidakkan sejarah, tetapi apabila ia berkaitan sejarah Islam, menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim untuk menerokanya. Bukankah Islam itu luas isinya?” katanya.

Tambah Syirfan, idea sebenar untuk merakam dokumentari ini datangnya daripada Afareez Abdul Razak, bekas pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir, yang kini melanjutkan pelajarannya di Universiti Islam Antarabangsa.

“Pelajar ini mengkaji perkara sama. Selepas semua kajiannya selesai, dia membawa tesisnya kepada kami untuk dijadikan dokumentari. Selepas melihatnya, kami terpegun dengan kajian dilakukannya. Jadi, sebagai orang Islam, kami juga mahu tahu perkara sebenar.

“Lagipun, perkara ini bukan sesuatu yang kita bualkan bersama rakan. Kurangnya ilmu menyebabkan kita hanya menurut sejarah sedia ada walaupun banyak perkara yang bercanggah dengan Islam. Jadi, idea menarik ini kami adunkan dalam satu dokumentari untuk rakyat negara dan tontonan masyarakat dunia.

Namun, mengkaji sesuatu yang tertulis dalam kalam Tuhan bukan perkara mudah. Banyak kajian secara ilmiah, hadis serta tokoh agama perlu dilakukan supaya tidak tersalah fakta. Lagipun, manusia dicipta untuk berfikir mengenai besarnya keagungan Allah,” katanya.

Menurut pengarah bersama dokumentari ini, Azizul Hisham Azizan, pihaknya juga sedar perkara sama. Sebab itu sebelum memulakan penggambaran, mereka melakukan kajian secara terperinci yang memakan masa dua tahun.

“Selain Alexander dan Zulkarnain, kami mengkaji tokoh sezaman dengan mereka, contohnya Raja Himyar dari Yaman dan Cyrus The Great yang turut dikaitkan dengan Zulkarnain dari Parsi. Kami tidak boleh tertumpu kepada satu tokoh saja kerana sejarah Islam terlalu besar untuk diterokai.

“Kami turut mengkaji apa yang tertulis dalam al-Quran dan hadis serta bertanya golongan bijak pandai dalam agama. Pendek kata, terlalu banyak kajian yang kami lakukan supaya dokumentari ini ditampilkan dengan jelas dan penuh dengan ilmiah.

“Selepas itu baru kami mengatur langkah merakam dokumentari ini. Dua kumpulan dibahagikan, di mana kumpulan produksi pertama menuju Rusia, Greece, Mesir dan Indonesia, manakala sekumpulan lagi bergerak ke Yaman, Iran dan Uzbekistan. Setiap negara yang kami tuju mempunyai sejarah dan kepercayaan berbeza. Kebanyakannya turut mempercayai Alexander adalah Zulkarnain,” katanya.

Menjawab persoalan apakah ada bukti Alexander dan Zulkarnain memang bukan orang sama, Azizan menjelaskan, buktinya memang wujud. Begitupun, bukan tugas mereka untuk menyatakannya.

“Kami orang biasa. Jadi, dokumentari ini bertujuan membawa isu global kepada kaca mata masyarakat. Kami timbulkan banyak persoalan yang boleh diterima semua. Dari situ, penonton perlu berfikir dengan apa yang kami tampilkan,” katanya.

Penggambaran bersejarah ini bakal disiarkan awal tahun depan menerusi saluran Astro Oasis dan History Channel. Namun, bagi mereka yang mahu melihat bagaimana proses dokumentari itu dirakam dan cerita pendek mengenainya boleh melayari fmptvbloq.wordpress.com.

Pengguna Celcom pula boleh menontonnya menerusi telefon bimbit dengan hanya mendail *8884 atau menerusi Malaysiana Mobile Content menerusi *8885.


0 comments: