Sunday, December 14, 2008

Catatan Seorang Bekas Wartawan Jenayah

Saya bersyukur kerana mati di tali gantung!

tali_gantung

Antara kenangan yang tak dapat aku lupakan sewaktu bertugas sebagai wartawan jenayah adalah ‘peluang’ untuk mewawancara banduan yang bakal menjalani hukuman gantung

Dalam penjara, mereka ini dikenali sebagai BA atau banduan akhir.

Mungkin ramai yang tak tahu, BA actually diberi sedikit keistimewaan oleh pihak pentadbiran penjara, antaranya termasuklah tak perlu berkongsi bilik bersama banduan lain.

Malah sel mereka agak luas dan bersih, tak perlu bekerja di bengkel dan diberi peluang untuk membawa bahan bacaan ke dalam bilik.

Mereka juga tak perlu beratur panjang untuk mengambil makanan, bahkan aku juga difahamkan wadar akan pejam ’sebelah mata’ jika BA melanggar peraturan penjara selagi ia tidak memudaratkan keselamatan.

bagi banduan-banduan lain, BA adalah ‘anak emas’, tetapi macam biasalah, BA juga adalah banduan yang paling ketat kawalan keselamatannya.

BA tidak boleh bercampur dengan banduan-banduan lain, masa riadah juga sangat terhad dan pergerakan mereka hanya terbatas di blok masing-masing

Jika hendak ke mana-mana, BA akan dikawal ketat oleh pasukan elit, Unit Khas Penjara atau UKP.

Aku tidak berhasrat nak ulas lebih-lebih pasal BA kerana ia adalah rahsia yang tidak boleh dibocorkan sewenang-wenangnya

Apa yang nak aku ceritakan di sini adalah kisah seorang BA yang tak putus-putus bersyukur kerana dijatuhkan hukuman gantung.

Bagi aku dialah banduan paling pelik yang pernah aku temubual sepanjang bertugas sebagai wartawan jenayah

“Abang, siapa yang tidak takut bila mengetahui dirinya akan menemui mati di tali gantung, tetapi saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya dah tahu bila saya akan mati

“Pernah tak abang terfikir, elok dok bergembira dengan kawan-kawan tiba-tiba abang diserang sakit jantung dan terus ‘jalan’

“Pernah tak terfikir waktu kita masuk tidur tiba-tiba esok rupanya kita dah dalam liang kubur kerana mati mengejut

“Sekurang-kurangnya bila bergelar BA, saya dah tahu yang saya akan mati dalam tempoh terdekat, seperti sekarang, saya dah tak tinggal solat dan beribadat semahu-mahunya

“Saya rasa bahagia sangat ketika ini, malah saya juga redha sekiranya ditakdirkan esok saya diperintahkan menemui Tuhan,” katanya sambil tersenyum.

Bila difikirkan semula, memang betul apa yang banduan tu katakan tadi.

Pagi ini aku dikejutkan dengan berita seorang sepupu ku meninggal dunia. Masih muda, umurnya baru dalam lingkungan 30-an.

Dia juga sangat aktif bersukan malah aku difahamkan allahyarham sering berbasikal ke tempat kerja dalam usaha untuk menjaga kesihatannya.

Malam tadi dia sempat berbual dengan ibunya sebelum meminta izin untuk tidur, malangnya apabila dikejutkan oleh ibunya untuk bersarapan pagi tadi, dia rupanya sudah tidak bernyawa lagi

Aku terus teringat kisah aku mewawancara BA bila melawat jenazah sepupu aku tadi

Lebih sayu lagi bila aku terdengar imam membaca talkin di kuburnya,

“Sesungguhnya mati itu benar, azab kubur itu benar, neraka itu benar dan syurga itu juga benar”


0 comments: