Tuesday, July 15, 2008

Keputusan Debat Anwar vs Sabry Chek

Berikut adalah keputusan yang diberikan setelah beberapa orang rakan Majlis Debat Universiti (MADUM) dan bekas bekas hakim Debat Piala Diraja duduk semeja menilai hujah kedua dua orang pembahas ini. Anwar berperanan selaku pihak kerajaan bagi usul dan Sabry Chek berperanan selaku pihak pembangkang bagi usul. Keputusannya ialah usul ditolak oleh dewan. Ini kerana Anwar gagal menjawab dua soalan yang dikemukakan sampai akhir sesi pergulungan. Pertamanya, Anwar gagal menjawab apakah dia bersetuju subsidi terus diberikan kepada peruncit minyak di Malaysia, sedangkan 58% pasaran dikuasai oleh syarikat asing. Keduanya, Anwar gagal menjawab soalan daripada Tan Sri Nordin Kardi. Anwar juga gagal menyakinkan bahawa mekanisma apakah yang dipakainya untuk turunkan harga minyak menjadi 50 sen. Anwar sekadar menyatakan kaedah penjimatan dan andaian, sedangkan kos untuk subsidi harga minyak yang semakin naik adalah lebih besar dari jumlah RM5 bilion. Anwar gagal meyakinkan bahawa hanya RM5 bilion sahaja diperlukan untuk stabilkan harga pada kadar 2.20 seliter dan lebih murah lagi selepas itu. Akhirnya, Anwar bersetuju harga minyak terpaksa dinaikkan. Jika begitu berapa lama harga RM2.20 seliter boleh bertahan jika Anwar jadi PM? Sebulan atau seminggu sahaja? Bermakna jika hari ini memerintah, esok belum tentu harga minyak turun.

Anwar banyak memberikan andaian dan hujah dengan menggunakan logik akal. Manakala Sabry menceritakan realiti sebenar yang berlaku tetapi cuba dinafikan oleh Anwar. Malah Anwar tidak memberikan kaedah untuk mengatasi harga minyak di Malaysia sekiranya harga minyak dunia terus naik. Premis Anwar bahawa minyak akan turun pada 2.20 sen seliter dijawab secara jelas oleh Sabry. Ini menunjukkan bahawa Anwar bersetuju dengan kenaikan minyak yang sedang berlaku.

Isu rasuah, integriti dan ketirisan adalah hujah sokongan Anwar sedangkan perkara yang sama berlaku ketika beliau menjadi TPM. Malah Anwar sendiri ialah Pengerusi IMF untuk rantau Asia Tenggara ketika krisis ekonomi 1998. Apakah Anwar hendak menyalahkan dirinya sendiri selaku wakil IMF di Asia Tenggara? Anwar sendiri baik dengan baik hinggakan berpeluk dengan Michael Camdessus (Pengerusi IMF). Bukankah Camdessus ialah bos Anwar dalam IMF?

Kesimpulannya, Anwar selaku bekas pelajar sastera di UM gagal menandingi ketenangan Sabry Chek yang merupakan bekas pensyarah ekonomi di Universiti Malaya. Anwar tidak sehebat mana pun dalam berdebat untuk mencabar separuh barisan kabinet berdebat dengannya. Selepas ini, minta Tan Sri Khalid Ibrahim vs Khir Toyo, Ustaz Azizan vs Datuk Mahazir Khalid, Tajol Rosli vs Nizar, Rafidah vs Wan Azizah atau Samy Vellu vs Gobalakrishnan. Inilah manifestasi keterbukaan demokrasi di Malaysia. Program sebegini harus diteruskan untuk mengalakkan ruang perdebatan politik secara konstruktif dijadikan medan sebenar rakyat untuk menilai isu semasa negara. Bukan lagi melalui demonstrasi di atas jalan.

AZRINIZAM BIN IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

0 comments: