Sunday, July 13, 2008

Masyarakat Baba Dan Nyonya

Masyarakat Baba Nyonya dikenali juga sebagai kaum Peranakan dan mereka merupakan kaum minoriti yang dipercayai berasal dari Melaka.

Masyarakat ini amat masyhur dengan pelbagai masakan tradisional yang begitu sedap dan menarik di mana resipinya ada persamaan dengan masakan masyarakat Melayu.

Antara budaya masyarakat ini ialah mereka fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan mengikut fakta sejarah kaum ini sebenarnya mempunyai pertalian darah keturunan Melayu.

Kebanyakan mereka berpakaian kebaya, sarung dan sebagainya yang merupakan pakaian tradisional nenek moyang mereka.

Selain berbahasa Melayu, mereka juga mampu bertutur dalam bahasa Hokkien manakala dari aspek kerohanian dan keagamaan mereka mempunyai banyak persamaan dengan bangsa Cina.

Menurut Naib Presiden Persatuan Peranakan Cina Melaka, Chan Kim Lay, kaum ini kebanyakannya berasal dari wilayah Hokkien, China dan mereka berhijrah ke Melaka 600 tahun dahulu ketika Melaka amat terkenal sebagai pusat perdagangan nusantara.

Beliau berkata mereka datang ke Melaka untuk berdagang dan mencari pekerjaan seterusnya berkahwin dengan wanita tempatan di mana anak lelaki yang dilahirkan dipanggil Baba manakala anak perempuan disebut Nyonya.

"Masyarakat Baba Nyonya makanannya sama dengan orang Melayu, mereka makan dengan tangan, masakan lauk gulai kita sama dengan orang Melayu, sebab itu kita ada sambal belacan, masak lemak, asam pedas, itu semua bukan makanan Cina, Baba Nyonya memang makan sebab kita punya emak orang Melaka atau Indonesia," katanya.

KEBAYA DAN SARUNG

Chan, 80, berkata selain berpakaian kebaya dan sarung, masyarakat ini mudah dikenali berdasarkan kepada bahasa pertuturannya iaitu campuran Cina dan Melayu

"Orang Melayu kata katil orang Baba tak kata katil kita kata ranjang. Pertuturan kita campur Hokkien dan Melayu umpamanya "mana lu mau pergi, "ini gua punya", "mak mana, mak ada loteng tidur", "Hai yaa hujan lebat, tak pi tutup jendela," katanya.

Beliau berkata kehidupan masyarakat Baba Nyonya banyak dipengaruhi budaya masyarakat Melayu kerana mereka tinggal di persekitaran Melayu dan disebabkan perkahwinan campur.

"Pada masa saya kecil, bila saya atau adik sakit, demam, emak bawa pergi jumpa pawang Melayu dan sakit kami baik, emak tak bawa pergi jumpa doktor. Emak dan nenek makan sireh dan sentil tembakau pada mulut macam orang Melayu," katanya.

Beliau sendiri pernah menggunakan khidmat pawang apabila pekerja di ladang getahnya mengadu "diganggu harimau putih" dan selepas itu ladang itu dapat diusahakan tanpa gangguan lagi.

Katanya begitu juga dengan majlis perkahwinan, ia campuran budaya Melayu dan Cina.

"Perkahwinan ikut budaya Melayu, atas katil dia letak tepak sireh, kalau itu malam, kalau bukan anak dara, tepak sireh itu diterbalikkan," katanya.

Beliau berkata orang Baba yang memeluk Islam dan berkahwin dengan perempuan Melayu dipanggil mualaf, kebanyakan mereka yang tinggal di kawasan kampung menghantar anak ke sekolah kebangsaan.

MASAKAN BABA NYONYA

Chan berkata keistimewaan masyarakat Baba Nyonya, mereka pandai menyediakan makanan masakan Melayu termasuk kuih muih.

"Emak saya Ho Joo Chuan meninggal dunia pada 1986, emak saya pandai masak masakan Melayu, hari-hari buat kuih, tugas saya petik kelapa, kupas kelapa, parut kelapa, saya parut kelapa untuk buat onde-onde, buat minyak kelapa, kita ada kebun kelapa di Klebang," katanya.

Antara kuih yang sering dibuat oleh emaknya ialah kuih apom balik, kuih koci di samping membuat cendol dan tapai pulut.

"Dulu emak saya buat tapai pulut, masa dia tengah buat saya nak tengok dia halau, dia ada petua, kalau makan sireh buat tapai, tapai jadi merah. Ini pantang larang yang ada kaitan dengan orang Melayu," katanya.

Katanya, emak beliau juga kuat percaya kepada pawang sehinggakan pada setiap malam Jumaat rumahnya diasapkan dengan kemenyan.

Bagaimanapun, Chan berkata budaya dan adat resam kehidupan masyarakat Baba Nyonya semakin pupus berikutan perubahan masa yang seolah-olah akhirnya ia menjadi nostalgia.

Beliau berkata keenakan masakan masyarakatnya kini hanya boleh dinikmati di beberapa restoran manakala pakaian kebaya dan sarung sudah tidak lagi diminati oleh generasi muda sekarang.

BRITISH HAKIS BUDAYA MASYARAKAT BABA NYONYA

Penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada kurun ke-18, bermulanya era yang banyak menghakis budaya dan adat resam masyarakat Baba Nyonya di mana ibu bapa ketika itu ramai menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah Inggeris, katanya.

"Saya belajar sekolah Cina, tak pernah belajar di sekolah Inggeris, bagi mereka yang belajar di sekolah orang Putih budaya dan adat resam Baba Nyonya mula dilupakan," katanya.

Beliau berkata sekarang dunia sudah moden, generasi kini kurang berminat mempraktikkan adat resam Baba Nyonya dan sesetengahnya tidak mengetahui asal usul masyarakat ini.

"Baju kebaya sekarang sudah mahal sepasang sudah RM500 hingga RM600," katanya.

Chan berkata penubuhan Persatuan Peranakan Cina Melaka antaranya bertujuan menyelamatkan masyarakat Baba Nyonya dari pupus.

"Kita nak cuba tanamkan adat resam dan kebudayaan kita kepada keturunan Baba Nyonya sekarang," katanya.

Beliau berkata persatuan itu akan cuba melatih generasi kini bagaimana untuk menyediakan juadah masakan Baba Nyonya, bagaimana untuk berjoget, berpantun, bermain permainan tradisional seperti congkak.

"Jika tidak diketengahkan sejarah Baba Nyonya ini ia akan hilang atau tinggal dalam buku sejarah, orang sekarang termasuk orang Melayu sendiri tidak tahu mengenai Baba Nyonya," katanya.

Beliau berkata melalui persatuan tersebut, setiap tahun mereka mengadakan dialog dan program lain bagi membincangkan masa depan dan memartabatkan masyarakat tersebut.

BABA NYONYA HERITAGE MUSEUM

Atas kesedaran itu, Chan telah mengambil inisiatif menjadikan rumah warisan keluarganya di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Bandar Hilir di sini sebagai Baba Nyonya Heritage Museum.

Sebagai Pengarah Muzium itu, Chan bertekad menjadikan rumah yang dibina pada 1896 oleh moyangnya dan tempat beliau dilahirkan, sebagai tempat memperkenalkan masyarakatnya ke seluruh dunia.

Muzium itu ditubuhkan pada 1984 mempamerkan barangan milik keluarganya seperti perabot, pakaian harian, pakaian majlis perkahwinan, peralatan dapur dan sebagainya yang berkaitan dengan masyarakat itu.

Muzium tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong domestik tetapi pelancong asing yang selama ini mengenali masyarakat tersebut melalui pembacaan.

Ketibaan pelawat di muzium itu akan disambut oleh kakitangan wanita yang berpakaian kebaya dan kain sarung, mereka akan terpegun apabila melihat perabot seperti kerusi, meja, almari malah reka bentuk rumah mengikut tukangan dari China.

Di sinilah, petugas akan menerangkan budaya dan adat resam kehidupan masyarakat ini.

Kaum ini masih memperjuangkan hak mereka untuk mendapatkan kad pengenalan dan surat beranak dengan beridentitikan Baba Nyonya kerana mereka bimbang dengan ketiadaan pengenalan kaum mereka, ia akan terpupus dan lenyap di masa depan.

2 comments:

Syiqa Rahmat said...

terima kasih

info ini sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk selesaikan assignment yg di tugaskan oleh pensyarah =)

Unknown said...

a'a la puteri sepi...

Sama cam saya...nk wat assignment gak..huhu

thanks ek adnansmile