Monday, July 7, 2008

Sebaris bumi dan matahari

Planet terbesar dalam sistem suria, Musytari pada malam esok, Rabu 9 Julai 2008 akan mengalami fenomena istiqbal atau opposition yang berlaku hanya sekali dalam setahun. Wartawan, NOOR HASLIZA NUSI melaporkan.


MUSYTARI merupakan planet kedua paling cerah selepas Utarid, kelima dari matahari dan terbesar daripada sembilan planet dalam sistem suria.


SAMBIL mendongak wajah ke arah langit, anda berkata, "indahnya ciptaan Tuhan sehingga boleh dilihat dengan mata kasar." Inilah perkataan pertama yang akan terpacul dari mulut anda tatkala melihat keajaiban yang diciptakan Tuhan buat seluruh penghuni planet Bumi.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah makna di sebalik kenyataan tersebut. Ia bukan bermaksud Bumi akan mengalami perubahan atmosfera secara dramatik sehingga memberi kesan terhadap isi di dalamnya, tetapi ia melibatkan fenomena yang jarang berlaku.


KETIKA proses pertentangan Musytari, jaraknya empat kali ganda dari kedudukan matahari.


Pada malam esok iaitu dari pukul 8 hingga 10 malam, sekiranya anda berpeluang melihatnya dengan mata kasar, anda akan nampak satu titik putih menyinari segenap ruang langit dan cahayanya lebih terang berbanding gemerlapan bintang-bintang yang melingkari segenap cakerawala.

"Titik putih itu adalah planet Musytari yang sedang mengalami opposition atau dalam erti kata lain, istiqbal (pertentangan) yang membawa maksud Musytari, Bumi dan Matahari berada dalam satu garis lurus dengan Bumi berada di antara Matahari dan Musytari.

"Satu pancaran cahaya yang menyinari ruang angkasa dilihat bagaikan sinaran bulan penuh," begitulah gambaran yang dijelaskan oleh Pegawai Sains Agensi Angkasa Negara, Rozaini Ezrina Sarbini ketika ditemui di Planetarium Negara baru-baru ini.

Apakah yang dapat dilihat sewaktu berlakunya pertentangan Musytari? Menurut Rozaini, beberapa minggu sebelum dan selepas pertentangan berlaku, Musytari akan kelihatan sangat terang.


CONTOH teleskop jenis Celestrone yang digunakan ketika melihat proses pertentangan Musytari.


Difahamkan, kedudukannya juga akan berada dalam keadaan paling dekat dengan Bumi. Katanya, ketika itu, ia merupakan waktu paling sesuai untuk mencerap Musytari.

"Ini merupakan masa terbaik untuk melihat Musytari. Tompok Besar Merah (Great Red Spot) iaitu ribut di permukaan Musytari, empat bulan yang mengelilingi Musytari iaitu lo, Europa, Ganymede dan Callisto yang terdapat di sisinya juga boleh dilihat menerusi teleskop,'' ujarnya yang memberitahu kedudukan planet Musytari akan berada berhampiran buruj sagitarius sekitar bulan Mac hingga September tahun ini.

"Ketika ini jugalah, kita berada dalam kedudukan paling dekat dengan Musytari berbanding hari-hari biasa. Ini bermakna Musytari akan kelihatan lebih terang dan sekiranya anda mempunyai teleskop, ia juga akan kelihatan lebih besar berbanding keadaan biasa.

"Jika Musytari bertentangan dengan Matahari, ini bermakna ia akan terbit di Timur manakala Matahari terbenam di Barat. Fenomena 'bintang' yang sangat terang di langit Timur selepas Matahari terbenam ini boleh dilihat pada malam esok," katanya.


ROZAINI menunjukkan kedudukan Musytari ketika proses pertentangan berlaku.


Semasa berlakunya proses itu juga, Musytari yang mengelilingi Matahari dalam tempoh 11.86 tahun bagi satu pusingan akan disinari sepenuhnya oleh Matahari dan ia boleh dilihat dengan lebih jelas berbanding ketika berada pada kedudukan lain.

Musytari yang juga dikenali sebagai Age Star merupakan planet yang kedua paling cerah selepas planet Utarid, planet kelima daripada kedudukan Matahari dan planet terbesar daripada sembilan planet dalam sistem suria.

"Pertentangan Musytari akan berlaku setiap 399 hari atau satu tahun satu bulan dan kali terakhir berlakunya pertentangan Musytari ini ialah pada 6 Jun 2007 dan seterusnya berlaku pada malam esok, 9 Julai 2008, sekitar pukul 8 hingga 10 malam," jelasnya apabila diajukan tentang kekerapan berlakunya pertentangan Musytari.

Manakala kadar pencahayaan magnitud visual planet Musytari dalam tempoh beberapa minggu sebelum dan selepas istiqbal adalah dalam lingkungan - 2.7 berbanding kecerahan bintang biasa iaitu 1 magnitud.

"Semakin negatif magnitud sesuatu objek di langit, maka semakin cerah ia kelihatan. Kedudukan Musytari pada ketika ini adalah pada jarak empat kali ganda atau empat Astronomikal Unit (4 AU) dari Matahari.

"Tidak dinafikan, terdapat kesukaran untuk meramal kedudukan sesuatu orbit dan ia bergantung pada keadaan cuaca pada malam esok. Sekiranya cuaca dalam keadaan cerah, kita berpeluang melihat proses pertentangan ini.

"Penggunaan alat teropong jauh atau teleskop yang dilengkapi dengan sistem pembesaran 40 kali ganda atau lebih sangat disyorkan untuk digunakan bagi mencerap Musytari," katanya yang memberitahu pencerapan tersebut melibatkan semua negara di seluruh dunia.

Paling menakjubkan, tambah Rozaini, sekiranya dilihat menggunakan alat teropong jauh atau teleskop, kita berpeluang mencerap planet Musytari dengan jarak lebih dekat sehingga dapat menerokai permukaan planet keenam iaitu Zuhal.




Peluang mencerap planet Musytari

MUNGKIN sehingga hari ini, anda masih tercari-cari destinasi paling sesuai untuk menyaksikan proses pencerapan planet Musytari yang berada dalam jarak paling dekat dengan planet Bumi pada malam esok?

Jangan memeningkan kepala untuk mengintainya dari sudut kediaman rumah anda tetapi berkunjunglah ke Planetarium Negara pada malam esok.

Di situ, anda berpeluang menyaksikan keunikan dan misteri planet Musytari menerusi teropong jarak jauh atau teleskop.

Bertempat di perkarangan pintu masuk utama Planetarium Negara, para pengunjung akan disediakan dengan tiga buah teleskop berkuasa tinggi bagi melihat fenomena pencerapan planet Musytari selama dua jam, bermula pukul 8 hingga 10 malam.

Dalam tempoh itu juga, apabila kedudukan Musytari berada bertentangan dengan matahari, orang ramai berpeluang melihat Tompok Merah Besar (Great Red Spot) atau ribut di permukaan Musytari serta empat bulan yang mengelilinginya iaitu Europa, Io, Callisto dan Ganymede.

Menurut Pembantu Pegawai Perhubungan Media Planetarium Negara, Latifah Abdul Hamid, pihaknya juga akan menyediakan beberapa program interaktif buat para pengunjung.

Antaranya ialah pertunjukan planetarium, kuiz sains angkasa, simulasi langit malam dan taklimat pencerapan langit malam.

“Program ini mempunyai objektif tersendiri iaitu meningkatkan pengetahuan orang ramai dalam mengkaji dunia astronomi.

“Khusus untuk golongan remaja dan kanak-kanak, mereka berpeluang mengetahui secara meluas tentang keajaiban yang terdapat di alam cakerawala.

“Secara tidak langsung, ia dapat memberi kesan yang mendalam terhadap perkembangan kognitif mereka yang menjurus ke arah masa depan belia yang lebih cemerlang,” katanya kepada Kosmo!.

0 comments: