Tuesday, April 15, 2008

Penghisap Darah Laris Untuk Produk Kecantikan / Kesihatan

Menjana Pendapatan Melalui LintahRAMAI pastinya berasa geli-geleman jika disuruh memegang lintah. Apa tidaknya, dengan bentuk tubuh yang berbulu, licin, liat dan terkenal sebagai penghisap darah, lintah bukan menjadi pilihan untuk dibelai.

Tidak terkecuali kepada Roziana Abu Hassan, 34, yang menunjukkan mimik muka berkerut dan ragu-ragu apabila diminta memegang dan bermesra dengan lintah.

Namun, di sebalik sikap `takut-takut’ terhadapnya, beliau adalah antara segelintir wanita yang berani menceburi bidang ternakan lintah meskipun jika terpaksa mengeluarkan ribuan ringgit untuk memulakannya.

Dan, tanpa ragu-ragu dia menerangkan dengan terperinci mengenai aspek ternakan lintah serta keyakinannya terhadap potensi dan masa depannya sebagai sumber dalam menjana pendapatan.

“Semakin sukar untuk mencari lintah liar sekarang. Puas saya melilau di kawasan sungai dan sawah tetapi susah sangat nak jumpa,” kata Mohd Jantan Abu Hassan, 36, suami Roziana, ketika ditemui di pejabatnya di Selama, Perak, baru-baru ini.

Roziana Abu HassanHakikat itu menguatkan lagi azam pasangan suami isteri yang mempunyai empat cahaya mata berusia 3 hingga 13 tahun, bersama ibu mereka, Rahidah Wahid, 50, melabur RM30,000 dan ditambah dengan pinjaman RM10,000 daripada Bank Rakyat untuk mengusahakan ternakan lintah.

Mereka memulakan usaha itu kira-kira enam bulan lalu dengan membina dua kolam dan ditambah empat kolam lagi dengan setiap satu berukuran 18 meter x 6 meter di Kampung Telok Mas, Selama, Perak.

Selepas itu, mereka membeli lintah induk sebagai baka pembiakan sebanyak 12 kilogram berharga kira-kira RM3,600 daripada Art Soulist Sdn Bhd, syarikat pengeluar dan pengedar produk berasaskan kecantikan dan kesihatan.

Roziana berkata, setiap kolam diisi dengan dua kilogram lintah induk dan diberikan belut yang dibeli pada harga RM6.50 sekilogram sebagai sumber utama hayat dan tumbesarannya.

“Kebiasaannya satu kolam disediakan seekor belut dan ikan itu akan mati keesokannya akibat darah dan protein dalam badannya disedut oleh lintah.

“Lintah adalah haiwan jenis hermapordit iaitu mempunyai sifat jantan serta betina dalam satu badan dan memerlukan darah mencukupi untuk mengawan. Darah belut dikenal pasti sebagai paling berkhasiat untuk lintah,” katanya.

0 comments: